Berbaloi jual minyak masak terpakai - Peniaga

Duit bayaran diperoleh buat modal pusingan

Norzila (kiri) membawa minyak masak terpakai untuk dijual.
Norzila (kiri) membawa minyak masak terpakai untuk dijual.
A
A
A

KOTA BHARU - Hasrat seorang peniaga nasi berlauk melestarikan alam sekitar dengan mengitar semula minyak masak memberi manfaat apabila bayaran diterima berbaloi untuk dijadikan modal pusingan.

Norzila Yaacob, 47, berkata, dia menggunakan minyak masak sebanyak satu kilogram (kg) setiap hari untuk menggoreng 4kg hingga 5kg ayam bagi menjalankan perniagaannya di Kampung Nilam Baru, Kedai Mulong, sejak setahun lalu.

Menurutnya, minyak masak itu hanya digunakan sekali untuk menggoreng ayam bagi menjamin dan mengekalkan kualiti serta rasa ayam goreng.

Minyak masak terpakai yang dibeli akan dikitar semula.
Minyak masak terpakai yang dibeli akan dikitar semula.

“Saya kemudian asingkan kira-kira 50 kilogram minyak masak sudah digunakan yang dikumpul dalam tempoh hampir dua bulan dan membawanya ke tempat penjualan semula minyak masak terpakai dengan harga RM2.50 sekilogram.

“Duit yang diperoleh itu hanya perlu ditambah 50 sen lagi bagi membeli minyak masak baharu berharga RM3 sekilogram,” katanya ketika ditemui pemberita di Program Jiwa Komuniti Madani @ Merdeka Pintu Geng, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Timur Jabatan Jualan Runcit Petronas Dagangan Berhad, Mohamed Rafik Rahmat, berkata, pihaknya memulakan program kitar semula minyak masak terpakai di seluruh negara bermula pada April lalu.

Mohamed Rafik (dua dari kiri) menuang minyak masak terpakai ke dalam tong untuk ditimbang dan dikitar semula.
Mohamed Rafik (dua dari kiri) menuang minyak masak terpakai ke dalam tong untuk ditimbang dan dikitar semula.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai boleh menghantar minyak masak yang sudah digunakan di stesen minyak Petronas terpilih misalnya di Kelantan iaitu di Jalan Bayam dan Padang Tembak, dua kali seminggu pada Sabtu.

“Akan ada syarikat berlesen yang ditempatkan di stesen minyak tersebut bagi membeli minyak masak terpakai daripada pengguna dengan harga RM2.50 sekilogram,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!