Suami isteri didakwa cuai sebabkan anak dua tahun positif dadah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kecuaian kepada anak perempuan mereka berusia dua tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak itu positif dadah.

Pengawal peribadi berusia 31 tahun dan suri rumah berumur 30 tahun itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Jalan Kelang Lama, Kampung Pasir Baru di Brickfields di sini pada 3.15 petang, 10 Ogos lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam Birr Zamier Abu Bakar yang mewakili pasangan terbabit memohon jaminan rendah atas alasan kedua-dua anak guamnya menanggung keluarga iaitu tiga orang anak termasuk mangsa dan tidak mempunyai pendapatan tetap selain tertuduh wanita mempunyai penyakit asma.

Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Okt ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!