[VIDEO] Aktiviti pecah rumah dirakam orang awam, Geng Ah Boon tumpas

A
A
A

SUNGAI PETANI - Perbuatan pecah rumah dilakukan dua suspek yang dirakam orang awam di Taman Setia Jaya di sini 27 Ogos lalu berjaya menumpaskan Geng Ah Boon yang aktif melakukan kegiatan itu sejak enam bulan lalu

Tangkap layar dari video yang dirakam orang awam memperlihatkan suspek memandu keluar kenderaan pemilik rumah sebelum menutup pagar.
Tangkap layar dari video yang dirakam orang awam memperlihatkan suspek memandu keluar kenderaan pemilik rumah sebelum menutup pagar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dua lelaki terbabit dikesan memecah masuk rumah dengan mengambil beberapa barangan milik mangsa antaranya wang tunai berjumlah RM1,811, empat gelang emas, syiling emas, 27 utas jam tangan dan enam botol minyak wangi pelbagai jenama.

Wan Azharudin menunjukkan barang yang dirampas daripada Geng Ah Boon dalam beberapa serbuan sekitar Kuala Muda.
Wan Azharudin menunjukkan barang yang dirampas daripada Geng Ah Boon dalam beberapa serbuan sekitar Kuala Muda.

Menurutnya, tindakan suspek yang memandu keluar kenderaan mangsa tanpa menyedari tindak-tanduk itu dirakam oleh orang awam akhirnya menyebabkan mereka tertangkap.

"Berdasarkan video dan laporan yang dibuat kepada pihak polis, kita berjaya mengesan dua suspek iaitu seorang berusia 29 dan dalangnya berusia 33 tahun, dalam tempoh lima jam menerusi serbuan yang dilakukan di daerah ini.

"Sebuah kereta warna kelabu yang dilaporkan hilang dalam kejadian pecah rumah terbabit turut ditemui," katanya kepada media.

Wang tunai berjumlah RM1,811 yang dirampas dalam serbuan membabitkan Geng Ah Boon.
Wang tunai berjumlah RM1,811 yang dirampas dalam serbuan membabitkan Geng Ah Boon.

Artikel Berkaitan:

Wan Azharuddin berkata, kedua-dua suspek dikesan positif dadah jenis methamphetamine, selain suspek pertama mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan tiga rekod dadah, manakala suspek kedua iaitu dalangnya mempunyai 21 rekod jenayah dan enam rekod dadah.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama sembilan hari bagi membantu siasatan bermula 28 Ogos 2024.

Peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah.
Peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah.

"Hasil serbuan dan tangkapan telah berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah dan pejabat serta satu kes curi kenderaan di sekitar Kuala Muda.

"Difahamkan, geng ini turut dikesan melakukan jenayah di Pulau Pinang dan Perak," katanya.

Sebanyak 27 utas jam tangan pelbagai jenama turut dirampas.
Sebanyak 27 utas jam tangan pelbagai jenama turut dirampas.

Jelasnya, hasil siasatan lanjut mendapati kumpulan itu dianggotai lima lelaki yang mana dua lagi lelaki berusia 44 dan 45 tahun telah ditahan dalam serbuan berasingan pada 29 Ogos dan 1 September lalu.

"Seorang lagi suspek masih diburu, usaha dipergiatkan untuk mengesan lelaki ini.

"Modus operandi yang dilakukan membabitkan premis kosong selain dipercayai menyamar sebagai anggota syarikat utiliti elektrik memandangkan sebuah vest tertera nama Tenaga Nasional Berhad turut dirampas dipercayai digunakan suspek untuk pecah rumah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!