‘Oyen Ucuk’ tidak mengaku sokong, miliki gambar berkaitan Daesh

Muhammad Sani Mahdi Sahar (dua dari kiri) didakwa menyokong dan dua kes memiliki gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh, sejak Disember tahun lalu. Foto Awani
Muhammad Sani Mahdi Sahar (dua dari kiri) didakwa menyokong dan dua kes memiliki gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh, sejak Disember tahun lalu. Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pekebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan menyokong dan dua kes memiliki gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh, sejak Disember tahun lalu.

Muhammad Sani Mahdi Sahar, 31, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim, Datuk Noorin Badaruddin, dalam sebutan kali pertama, susulan kes itu dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen Muar, Johor.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang memakai baju T berwarna hitam, didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama dalam bahasa Arab, Abu Ibrahim, yang kemudian ditukar kepada ‘Oyen Ucuk’.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8 Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman di sini, pada jam 9 pagi, 19 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa telah memiliki tiga gambar yang dikaburkan dengan keterangan gambar, menyatakan individu tersebut berbai’ah kepada Abu Hafsah Al-Hasimi Al-Quroshi yang merupakan pemimpin Daesh kelima.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu gambar program memperingati insiden militan yang berkait dengan Daesh telah menawan suatu kawasan di Mozambique pada tahun 2020.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan dalam akaun media sosial sama, yang dikesan di lokasi serupa, pada 8 malam, 26 Mac dan jam 9.16 malam, 30 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Dalam kes ini, tertuduh diwakili peguam, Asiah Abd Jalil dan Nurain Sakina Zakri manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mat Radzi.

Mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 19 November depan.

Tertuduh sebelum ini pernah didakwa sebanyak dua kali dan dijatuhi hukuman masing-masing penjara 18 bulan pada 2016 dan enam tahun pada 2018 atas kesalahan berkaitan Daesh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!