Jadikan Singapura, GLC rakan kongsi projek HSR - Ka Siong

Dr Wee Ka Siong
Dr Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk melibatkan Singapura dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negara itu sebagai rakan kongsi projek pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) seperti dirancang sebelum ini.

Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah ini untuk membolehkan potensi yang lebih besar bagi projek Bandar Malaysia dengan menggalakkan lebih banyak syarikat Singapura memindah sebahagian operasi mereka ke tapak tersebut.

Selain itu, kerajaan juga dicadang untuk membenarkan satu konsortium membangunkan kedua-dua projek HSR dan Bandar Malaysia sebagai satu pakej, bukan secara berasingan

"Idea asal adalah untuk meraih keuntungan projek Bandar Malaysia yang sangat berdaya maju bagi membiayai silang projek HSR.

"Malah, jika ia dilakukan dengan betul maka keuntungan projek Bandar Malaysia dengan mudah dapat membayar keseluruhan atau kos yang besar bagi projek HSR ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pengerusi MyHSR Corporation Sdn Bhd, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman sebelum ini dilapor berkata, keputusan mengenai kebolehlaksanaan projek mega HSR Kuala Lumpur-Singapura dijangka diumumkan pada penghujung suku keempat tahun ini.

Ujarnya, kerajaan kini sedang dalam fasa kajian menyeluruh terhadap projek tersebut, dengan tumpuan khusus kepada kesan ekonomi jangka panjang serta kedudukan fiskal negara.

Sementara itu, Ka Siong pada masa sama turut berpandangan, projek HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura tersebut tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak swasta tanpa bantuan kerajaan untuk sebarang pelaksanaannya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, ia mengambil kira peningkatan kos bagi projek bernilai tinggi itu susulan pelbagai isu antaranya berlaku kelewatan dan penangguhan.

Beliau berkata, pelan asal HSR memulakan operasinya menjelang 2026 dengan kos pembinaan RM70 bilion iaitu hanya berbaki dua tahun dari sekarang.

"Sejak pertukaran kerajaan selepas PRU14 pada tahun 2018, projek infra rakyat ini mengalami banyak kelewatan, penangguhan, penggantungan, pembatalan dan dihidupkan semula. Namun, sehingga hari ini, masih belum pasti sama ada projek itu masih boleh diteruskan atau sebaliknya.

"Laporan media baru-baru ini mengatakan bahawa harga projek tersebut meningkat kepada RM120 bilion, berbanding pelan asal RM70 bilion. Ini menimbulkan keraguan terhadap kebolehlaksanaan projek, terutamanya jika kerajaan Madani mahu projek ini dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta.

"Selepas banyak kajian dilakukan, tiada siapa boleh menafikan manfaat limpahan ekonomi dan sosial daripada projek HSR ini. Semakin lama kita menunggu projek itu dimulakan, semakin lama negara kehilangan manfaat ekonomi dan sosial ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!