Kelantan sudah ada pegawai urus integriti

Hilmi menjelaskan PBT di Kelantan sudah mempunyai seorang pegawai integriti yang dilantik sebagai Urusetia Jawatankuasa Anti Rasuah.
Hilmi menjelaskan PBT di Kelantan sudah mempunyai seorang pegawai integriti yang dilantik sebagai Urusetia Jawatankuasa Anti Rasuah.
A
A
A

KOTA BHARU - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan mempunyai seorang pegawai integriti yang dilantik sebagai Urusetia Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, pegawai berkenaan turut berperanan sebagai orang tengah antara Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Menurut beliau, bacaan ikrar dan program tahunan antara semua kakitangan dan pegawai kerajaan negeri dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diadakan setiap tahun.

"Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Nga Kor Ming) sepatutnya lebih telus dengan menyenaraikan status penubuhan Unit Integriti di semua 156 PBT seluruh negara dan tidak menumpukan kepada tiga negeri sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pendedahan Kor Ming pada Khamis bahawa PBT di Kedah, Perlis dan Kelantan belum menubuhkan Unit Integriti untuk membantu usaha kerajaan membanteras rasuah.

Kor Ming turut mengarahkan PBT yang belum melaksanakan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu segera menubuhkan Unit Integriti masing-masing.

Mengulas lanjut, Hilmi berkata, sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sejak 34 tahun lalu, tiada pegawai dan pimpinan kerajaan negeri Kelantan yang disabitkan dengan kes rasuah.

"Pencapaian dan rekod bersih ini juga sebenarnya telah diiktiraf oleh SPRM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, walaupun tidak ditubuhkan Unit Integriti secara khusus di semua PBT di Kelantan, integriti dan tata kelola dalam pentadbiran sudah menjadi prinsip asas dalam pemerintahan kerajaan negeri Kelantan.

Selain BITU kata Hilmi, Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) juga antara badan yang dipertanggungjawabkan mengadakan kursus integriti serta menyelia pergerakan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

"Kami percaya melalui BITU dan IPTG, kakitangan kerajaan negeri Kelantan akan kekal sebagai negeri yang bebas daripada rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa," katanya.

Hilmi berkata, kerajaan negeri tetap menyokong dan menyambut baik pekeliling yang dikeluarkan oleh JPA dengan Bahagian Kerajaan Tempatan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan sedang mengambil tindakan sewajarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!