SAREX OMSAR kukuh kerjasama, tambah kepakaran agensi menyelamat

Mazlan (tengah) ketika sidang akhbar
Mazlan (tengah) ketika sidang akhbar
A
A
A

KEMAMAN - Seramai 34 agensi termasuk swasta terlibat dalam latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) Offshore Maritime Search dan Rescue Exercise (OMSAR) 2024 bagi memastikan usaha penyelamatan di perairan dapat berjalan dengan lancar dan baik.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, operasi itu dapat mengukuhkan serta menambah baik prosedur sedia ada dalam menghadapi sesuatu insiden atau bencana maritim.

"SAREX-OMSAR dilaksanakan bertujuan bagi menguji Prosedur Tetap Mencari dan Menyelamat Maritim, Pelan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) dan Garis Panduan Operasi berkenaan 'Search and Rescue' di pelantar minyak.

"SAREX OMSAR turut menjadi medan bagi memperkukuhkan hubungan dan persefahaman peserta dalam kalangan agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) maritim terutamanya dari segi komunikasi supaya penyaluran maklumat lebih berkesan dan efektif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di program SAREX-OMSAR 2024 di Kemaman Supply Base (KSB) di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, SAREX-OMSAR 2024 menjadi bukti kemampuan dan kredibiliti agensi menyelamat kebangsaan dalam menghadapi insiden atau bencana maritim.

Katanya, latihan yang dilaksanakan pada kali ini turut melibatkan pemerhati-pemerhati dari agensi kerajaan dan swasta yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan krisis.

Artikel Berkaitan:

Seramai 34 agensi termasuk swasta terlibat dalam latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) Offshore Maritime Search dan Rescue Exercise (OMSAR) 2024
Seramai 34 agensi termasuk swasta terlibat dalam latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) Offshore Maritime Search dan Rescue Exercise (OMSAR) 2024

"Hasil pemerhatian yang telah dilakukan menunjukkan secara keseluruhan ia telah berjaya dilaksanakan dengan cemerlang dan mencapai objektif yang ditetapkan.

"Melalui pemerhatian yang telah dilakukan, setiap agensi dapat menambah baik kepakaran, keupayaan sedia ada agar lebih bersedia dalam menghadapi sebarang situasi dan kemungkinan di masa hadapan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, latihan tersebut juga bertujuan mendedahkan peserta kepada pengurusan koordinasi carilamat semasa suatu insiden di laut yang dikategorikan sebagai bencana maritim.

Katanya, ia turut menjadi platform kepada setiap agensi dan jabatan yang terlibat untuk menguji prosedur operasi standard (SOP) jabatan dan agensi masing-masing ketika berhadapan dengan situasi sebenar bencana di laut.

"Selain itu mengenal pasti kepakaran khusus yang dimiliki oleh setiap agensi dan jabatan dalam melakukan operasi carilamat.

"Kerjasama dan komitmen tinggi yang dipamerkan oleh semua agensi terlibat telah membawa kepada kejayaan perjalanan SAREX-OMSAR 2024 pada kali ini dan seterusnya berjaya mencapai objektif pelaksanaan latihan dijalankan," jelasnya.

Maritim Malaysia melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC Kuantan) dengan kerjasama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) serta International Petroleum Corporation (IPC) telah melaksanakan SAREX-OMSAR 2024 Level 3 selama empat hari bermula Isnin lepas.

Pada program itu, seramai 380 peserta melibatkan 24 agensi kerajaan serta 10 agensi swasta mengambil bahagian dalam latihan yang diadakan.

Sebanyak 33 aset merangkumi 19 aset darat, satu aset udara serta 12 aset laut telah digerakkan sepertimana situasi sebenar bagi memastikan setiap aset itu mempunyai keupayaan dalam operasi menyelamat skala besar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!