Dakwa tidak kukuhkan syiar Islam, Wan Rosdy tempelak Pas

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menempelak kenyataan Pesuruhjaya Pas Pahang yang mendakwa seolah-olah kerajaan tidak melakukan sebarang pembangunan untuk mengukuhkan syiar Islam di negeri ini.

Beliau berkata, kenyataan itu dikeluarkan Rosli Abdul Jabar dalam satu program di Chegar Medang, Bentong pada 31 Ogos lalu dan disiarkan dalam portal parti politik berkenaan pada keesokan harinya.

"Saya tak pasti sama ada kenyataan itu benar-benar keluar dari mulut Yang Berhormat Tanjung Lumpur sendiri, atau ia hanya disensasikan oleh portal politik itu.

"Bagi saya laporan berita tersebut adalah satu kenyataan riak, sombong, serta cuba membangkitkan sentimen dan persepsi negatif," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ucapan penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Pada 1 September lalu, sebuah portal parti politik telah menyiarkan artikel bertajuk ‘Agenda Islam di Pahang, hanya Pas boleh diharap’ dengan memetik ucapan Rosli.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, laporan berita itu bukan sahaja mempersoal usaha yang telah Kerajaan Negeri laksanakan, tetapi turut mempertikai kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.

"Banyak usaha, cadangan, nasihat dan juga saranan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dalam menyubur syiar Islam di bumi Pahang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam berpolitik, tetapi dalam soal agama perlu berpada-pada terutamanya ketika berbicara.

"Wadah perjuangan kita mungkin berbeza. Ijtihad memenangkan agenda Islam kita mungkin berbeza, tetapi matlamat kita tetap sama.

"Namun, jangan hanya kerana mahu membaja benih kebencian dalam kalangan rakyat dan mencari laba politik, ada yang menjadi buta rasa dan tuli deria," katanya.

Sebelum ini, Wan Rosdy memaklumkan banyak usaha telah dilaksanakan Kerajaan Pahang antaranya, menubuhkan Maahad Tahfiz Negeri Pahang, sehingga ia menjadi institusi pendidikan terbaik di negara ini dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Tambahnya, Tadika Tahfiz Negeri Pahang juga diwujudkan pada 2018 dan kini ia berkembang kepada 25 cawangan.

"Malah, modul pendidikan tadika tahfiz ini telah diguna pakai oleh 4,000 Tadika KEMAS di seluruh negara dan kita telah wujudkan Program Tahfiz Mahir, bagi melatih pelajar-pelajar tahfiz dengan ilmu kemahiran dengan jaminan kerjaya apabila tamat latihan

"Selain itu, kita menubuhkan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang dan Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri," katanya yang menyalurkan bantuan dan sumbangan menerusi Bantuan Prihatin Pahang kepada rakyat di negeri ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!