Kondominium mewah jadi stor dadah bernilai RM1.6 juta diserbu

Rusdi (empat kiri) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.
Rusdi (empat kiri) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kondominium mewah sebagai stor terbongkar selepas diserbu polis pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan berusia 23 hingga 30 tahun serta merampas dadah jenis ketamin dan ekstasi dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

"Dalam operasi pada jam 11.35 pagi hingga 5 petang itu, kita menahan tiga lelaki itu di kondominium di Cheras dan merampas satu beg hijau yang mengandungi dadah ketamin seberat 10.5 kilogram (kg)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.

Rusdi berkata, susulan daripada tangkapan terbabit, pasukan polis telah pergi ke sebuah kondominium di Cheras Perdana, Selangor yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan.

"Hasil pemeriksaan tersebut kita menjumpai tiga bungkusan plastik lut sinar berisi dadah disyaki ekstasi seberat 5.2 kg dan dua bungkusan plastik putih berisi ketamin seberat 4 kg," katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu adalah mendapatkan bekalan dadah dari luar negara dan menjadikan kondominium sebagai stor simpanan dadah.

"Kita turut menyita wang tunai berjumlah RM900, barangan kemas bernilai RM4,000 dan kereta Perodua Myvi," katanya.

Rusdi berkata, hasil ujian saringan awal mendapati dua suspek positif dadah THC positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) dan ketamin.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek telah direman selama enam hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita berusaha mengekang aktiviti dadah dari terus berleluasa di kuala lumpur dan berharap agar orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah bagi memastikan Ibu kota menjadi bandaraya selamat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!