Pencemaran bau kimia: Bungkusan 'misteri' ditemui di anak Sungai Pandan
JOHOR BAHRU - Beberapa bungkusan ditemui di anak Sungai Pandan ketika anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor melakukan pemeriksaan mencari punca pencemaran bau kimia pada Rabu.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, sampel daripada bungkusan terbabit telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Jelas beliau, bau pencemaran di lokasi penemuan itu masih dapat dihidu sama seperti yang berlaku di Kampung Melayu Pandan, dua hari lalu.
"Di kawasan berhampiran Taman Daya, di anak sungai Sungai Pandan, beberapa objek yang tidak dikenal pasti ditemui dibuang di tepi sungai dalam bentuk bungkusan.
"Tindakan memasang garisan keselamatan di lokasi dilakukan, selain JAS juga sedang mengukur kualiti udara di situ," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Tian Soon memberitahu, pihaknya bersama JAS Johor turut melakukan pemeriksaan ke atas kilang-kilang di Kawasan Perindustrian Tebrau 1.
Katanya, tindakan itu dilakukan bagi memastikan kilang-kilang mematuhi peraturan dalam pengurusan sisa industri atau kimia.
"Selain mencari bahan pencemar yang mungkin dibuang berhampiran sungai, JAS Johor juga menjalankan pemeriksaan ke atas kilang-kilang di kawasan sekitar untuk memastikan mereka mengikut prosedur operasi piawai (SOP) dalam pengurusan sisa.
"Pemeriksaan yang dijalankan pagi tadi, tidak menemui sebarang perkara luar biasa.
"Oleh itu, pihak berkuasa akan meneruskan usaha pemeriksaan terhadap kilang-kilang," ujarnya.
Tambahnya lagi, JAS Johor komited untuk mencari punca insiden pencemaran bau kimia yang telah memberi kesan kepada beberapa kawasan perumahan di Johor Bahru.
"JAS Johor memandang serius insiden pencemaran bau kimia ini dan akan terus menjalankan operasi pemeriksaan di sekitar Sungai Pandan dan anak-anak sungainya untuk mencari punca pencemaran.
"Saya juga mengecam tindakan tidak bertanggungjawab mereka yang membuang bahan atau sisa tanpa pengendalian profesional.
"Saya ingin mengingatkan bahawa mana-mana industri atau individu yang dengan sengaja membuang bahan kimia boleh didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2024, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dari lima tahun, denda tidak lebih RM10 juta, atau kedua-duanya sekali," katanya.
Pencemaran bau dikesan di kawasan sekitar Taman Mount Austin, Taman Daya, Taman Istimewa dan Kampung Melayu Pandan di sini pada Selasa.
Penduduk di Kampung Melayu Pandan dan taman sekitarnya, pula mendakwa mengalami pening kepala dan loya selepas pencemaran bau berlaku.
Ia menyebabkan sebuah tadika dan sekolah agama di Kampung Melayu Pandan terpaksa ditutup pada hari kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!