7 syarikat tipu bida tender dikenakan penalti lebih RM400,000

MyCC kini sedang menyiasat 13 kartel tipuan bida melibatkan 561 syarikat dalam tender bernilai RM2.37 bilion. (Gambar kecil: Iskandar)
MyCC kini sedang menyiasat 13 kartel tipuan bida melibatkan 561 syarikat dalam tender bernilai RM2.37 bilion. (Gambar kecil: Iskandar)
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak tujuh syarikat dikenakan penalti dan denda berjumlah RM446,092.95 oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana terbabit kegiatan tipu bida dalam empat tender pembekalan barangan dan perkhidmatan untuk Kementerian Pertahanan (MINDEF) bernilai RM20 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, tindakan itu diambil kerana melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) yang dilakukan pada 2017 dan 2020 lalu.

"Pada 19 Disember 2023, MyCC telah mengeluarkan keputusan cadangan kepada tujuh perusahaan yang terlibat dan seterusnya MyCC telah menerima representasi daripada perusahaan-perusahaan tersebut.

"Selepas menilai dengan teliti semua representasi yang dikemukakan, MyCC telah mengeluarkan keputusan dapatan pelanggaran terhadap kesemua tujuh perusahaan pada 30 Ogos 2024 dan ia telah diserahkan kepada perusahaan yang terlibat hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tujuh syarikat terlibat ialah Agenda Eksklusif Sdn Bhd (AESB); Star Apex Enterprise (SAE); Nekad Waja Resources (NWR); Spectron Sdn Bhd (SSB); Teknokrat Makmur Enterprise (TME); Prospectrum Sdn Bhd (PSB) dan NK Panorama Enterprise (NKPE).

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, MyCC kini juga sedang menyiasat 13 kartel tipuan bida yang melibatkan 561 syarikat dalam tender bernilai RM2.37 bilion serta menilai aduan berkaitan 463 syarikat dalam tender bernilai RM9.27 bilion.

Beliau berkata, kartel tipuan bida telah sekian lama menggugat ketelusan dan integriti perolehan awam negara hingga mengakibatkan kerugian besar kepada sumber negara yang sepatutnya dimanfaatkan untuk rakyat.

"MyCC tetap teguh dalam usaha membanteras amalan tidak beretika ini sejajar dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk membasmi kartel tipuan bida.

Artikel Berkaitan:

"Perlu saya tegaskan bahawa penyiasatan ini tertumpu kepada perusahaan-perusahaan yang terlibat dalam pelanggaran tersebut, bukannya terhadap MINDEF. MINDEF adalah mangsa manipulasi kartel-kartel ini," katanya.

Tambahnya, MyCC turut menghargai kerjasama MINDEF dalam penyiasatan serta berdiri teguh bersama kami menentang aktiviti kartel yang tidak bertanggungjawab ini kerana kartel adalah kejahatan tertinggi di dalam undang-undang persaingan.

"Kami minta agensi-agensi lain mencontohi tindakan MINDEF dan bekerjasama dengan MyCC dalam usaha melindungi ketelusan perolehan awam. Jika terdapat kementerian atau agensi yang mengesyaki berlakunya amalan tipuan bida dalam proses tender mereka, kami mengesyorkan agar segera menghubungi MyCC untuk membuat aduan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!