Hanya satu borang pencalonan PRK Mahkota dibeli setakat ini - SPR

Noraein
Noraein
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor mengesahkan hanya satu borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Kluang telah dibeli setakat Rabu.

Penolong Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor, Noraein Bachok berkata, borang tersebut dibeli oleh individu persendirian.

"Setakat semalam, hanya satu borang telah dijual di Majlis Perbandaran Kluang (MPK). Borang dibeli oleh persendirian, di peringkat parti kami belum dapat maklumat.

"Siapa yang berkehendak boleh membeli borang penamaan calon di MPK. Tarikh akhir membeli borang yang dijual pada 14 September depan sebelum jam 10 pagi," katanya.

Belau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat petugas media PRK DUN Mahkota oleh SPR di Auditorium RTM di sini, pada Khamis.

SPR menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September, manakala penamaan calon dan pengundian awal pula, masing-masing pada 14 dan 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Johor, memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

Artikel Berkaitan:

Calon Barisan Nasional (BN) itu memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi selepas memperoleh 16,611 undi.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!