Penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian bukan menidakkan demokrasi

Azalina (tengah) menjawab soalan pemberita ketika sidang akhbar sempena Persidangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Azalina (tengah) menjawab soalan pemberita ketika sidang akhbar sempena Persidangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian bukanlah satu usaha untuk menidakkan demokrasi dan menyekat hak bersuara rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan rang undang-undang (RUU) untuk mewujudkan akta baharu berkenaan akan diseimbangkan dengan hak bersuara rakyat.

“Kita tak boleh cakap ini menidakkan demokrasi dan kerajaan akan turunkan semua maklumat (yang salah dalam talian termasuk media sosial). Dalam salah satu pembentangan Persidangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 tadi, seorang pakar (siber) ada kata kerajaan tidak (mampu) turunkan (semua) maklumat.

“Sebab kalau nak turunkan pun, nak turunkan dekat (platform) mana? Misalnya kalau turunkan di (platform) A, ia naik di (platform) B. Turun di B, ia naik kat C. Jadi bagaimana nak kawal 30 juta pengguna ini, itu masalahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Persidangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Azalina sebelum ini dilaporkan berkata, RUU Keselamatan Dalam Talian itu akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Beliau berkata, pelaksanaan dan penguatkuasaannya berada di bawah Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Mengulas lanjut, Azalina menjelaskan, pelaksanaan akta berkenaan nanti akan turut memperkasakan pengguna.

Artikel Berkaitan:

“Akta ini dibina supaya pengguna mempunyai apa yang disebut sebagai ‘kill switch’. Contohnya perkara dibentang tadi yang berkaitan pengguna adalah masalah bila kanak-kanak guna media sosial. Kalau kerajaan nak bentangkan had umur (pengguna media sosial), cabarannya pengguna mungkin boleh tipu umur.

“Jadi sekarang macam mana nak kawal? Jadi untuk kawal kena datang dari (kesedaran) pengguna itu sendiri,” tambahnya.

Jelasnya, secara asasnya untuk pelaksanaan undang-undang baharu terbabit juga semua penyedia platform dan aplikasi perlu mendaftar kerana kerajaan memerlukan maklumat mengenai penyedia perkhidmatan tersebut.

Oleh itu, katanya, penyedia platform dan aplikasi juga perlu berkongsi maklumat mengenai risiko platform serta aplikasi yang disediakan mereka supaya kerajaan boleh bersedia dengan tindakan yang positif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!