HLCB catat keuntungan bersih RM97.9 juta kewangan berakhir 30 Jun
HONG Leong Capital Berhad (HLCB) mengumumkan mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai yang lebih tinggi sebanyak RM97.9 juta, peningkatan sebanyak 96.3 peratus bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (TK2024).
Pengerusinya, Tan Kong Khoon berkata, ia didorong oleh prestasi kukuh seluruh anak syarikatnya termasuk Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) dan Hong Leong Asset Management Bhd (HLAM), manakala pulangan lebih tinggi juga dicapai melalui pelaburan ekuiti HLCB.
"Nilai buku sesaham meningkat kepada RM4.36 pada 30 Jun 2024 daripada RM4.09 pada 30 Jun tahun lalu. Lembaga pengarah telah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 22.0 sen bagi setiap saham biasa, meningkat lima sen berbanding tahun lepas berjumlah RM54.3 juta.
"Prestasi kukuh kami pada TK2024 mencerminkan daya tahan keutamaan strategik kami dan kekuatan pasukan pengurusan dalam merebut peluang ketika ia muncul," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Tan Kong, di sebalik peningkatan ekonomi didorong eksport yang lebih tinggi, lagi banyak pelaburan langsung asing, dasar monetari akomodatif, bahagian broker saham disokong peningkatan dalam bahagian pasaran dan aktiviti dagangan Bursa Malaysia yang rancak.
Ujar beliau, ia termasuk FTSE Bursa Malaysia KLCI melonjak sebanyak 16 peratus sepanjang tahun kewangan HLCB manakala pasukan Pasaran Hutang & Ekuiti dapat menyelesaikan lebih banyak terbitan hutang dan mandat berkaitan ekuiti.
"Melihat ke hadapan, ekonomi Malaysia dijangka meneruskan momentum yang kukuh, didorong oleh tahap pekerjaan yang stabil, pemulihan berterusan dalam pelancongan, dasar sokongan pendapatan dan peningkatan dalam aktiviti pelaburan dan perdagangan.
"Kami kekal optimis momentum perdagangan di Bursa Malaysia akan berterusan sepanjang tahun 2024. Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati terhadap pasaran modal memandangkan ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi geopolitik dan global.
"Secara keseluruhan, kami akan terus menumpukan pada melaksanakan keutamaan strategik untuk menyampaikan prestasi perniagaan yang mampan dan mencipta nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan," katanya.
Menurutnya, HLCB akan terus melaksanakan pengurusan disiplin modal, kecairan dan kecekapan kos.
Ujarnya, berpandukan Rangka Kerja kemampanan, pihaknya komited untuk memainkan peranan sebagai penyedia perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab dengan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pelaburan dan pembiayaan berkaitan kemampanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!