Dua syarikat didenda RM60,000 hasilkan efluen perindustrian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Dua premis yang menjalankan pembuatan barangan rumah masing-masing didenda RM40,000 dan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas kesalahan berkaitan menghasilkan efluen perindustrian.

Menerusi kenyataan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, hukuman itu dijatuhi oleh Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas orang kena saman (OKS) iaitu wakil syarikat membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Menurut kenyataan itu, sepasukan pegawai dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan telah menjalankan siasatan penguatkuasaan ke premis tersebut pada 24 Oktober dan 30 November tahun lalu.

"Semasa siasatan, terdapat pelepasan efluen Perindustrian di takat pelepasan akhir dari sistem pengolahan efluen Perindustrian milik syarikat berkenaan dan contoh rasmi efluen perindustrian diambil di takat pelepasan akhir sebelum dihantar ke Jabatan Kimia, Petaling Jaya untuk dianalisa oleh Ahli Kimia Kerajaan.

"Keputusan analisa daripada Makmal Kimia Petaling Jaya menunjukkan ia melebihi had Piawaian A seperti mana yang ditetapkan di bawah Peraturan 11(1)(a) dan Peraturan 12(a)," kata kenyataan itu pada Khamis.

Katanya, berikutan itu syarikat berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(a), Peraturan - Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 yang dibaca bersama di bawah Peraturan 32, Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Peraturan 32,Peraturan - Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Hakim telah mensabitkan kesalahan setelah masing-masing membuat pengakuan bersalah dan telah dijatuhi hukuman denda RM40,000 dan RM20,000.

"JAS Negeri Sembilan akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar. Orang awam diseru untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar melalui portal e-aduan.doe.gov.my atau 1-800-88-2727 atau email aduan_k@doe.gov.my," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!