Teliti semula dasar, peraturan dan SOP lapuk - KSN

Shamsul Azri (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Nasional bilangan 2/2024 pada Khamis. - Foto: FB Shamsul Azri Abu Bakar
Shamsul Azri (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Nasional bilangan 2/2024 pada Khamis. - Foto: FB Shamsul Azri Abu Bakar
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan ketua jabatan diingatkan agar meneliti semula dasar, peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) yang lama serta lapuk.

Teguran itu dibuat Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Nasional bilangan 2/2024 pada Khamis.

Menurutnya, dasar, peraturan dan SOP perlu ditambah baik selaras dengan prinsip tatakelola baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan serta keberkesanan.

"Dasar, peraturan dan SOP yang telah lapuk berpotensi untuk membuka ruang serta peluang kepada salah guna kuasa, penyelewengan dan juga rasuah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Mesyuarat turut membangkitkan kes di dalam Laporan SPRM yang tertangguh sekitar enam hingga 10 tahun di mana ia belum diselesaikan di peringkat kementerian serta agensi.

"Saya telah meminta perkara ini diberi perhatian serius kerana ia boleh menjejaskan tapisan keutuhan dan laluan kerjaya seseorang pegawai.

"Integriti adalah melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!