Malaysia perlu manfaat pasaran ASEAN - Rafizi
SEPANG - Malaysia perlu mengambil peluang dalam pasaran terbuka ASEAN untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatannya serta terus menempatkan negara di kedudukan tertinggi dalam pasaran yang dijangka mempunyai satu bilion pengguna itu, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata, Malaysia telah berada di kedudukan hadapan di rantau ini dan ASEAN dijangka menjadi kuasa ekonomi keempat dunia dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
"Tempoh 10 hingga 15 tahun ini adalah pendek. Pada masa ini, ASEAN mempunyai kira-kira 700 juta pengguna dan dalam tempoh tersebut, jumlah itu dijangka mencecah satu bilion pengguna.
"China telah menjadi kuasa ekonomi yang besar. Begitu juga India, yang dijangka akan menjadi kuasa ekonomi dengan saiz pasaran lebih satu bilion,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 di sini hari ini.
Beliau berkata, ASEAN mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik dan konsisten serta dijangka terus tumbuh dan mempunyai pasaran pengguna melebihi satu bilion.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, ramai yang menjangka ASEAN akan mengambil tempat Eropah sebagai pasaran pengguna ketiga terbesar di dunia.
"Kalau kita tengok rakan seangkatan kita di rantau ini, Malaysia sering berada di tempat kedua dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, selepas Singapura.
"Kita mempunyai keseimbangan yang sesuai, dengan pertumbuhan yang kukuh, sumber yang banyak, dan lokasi yang strategik di tengah-tengah ASEAN. Potensinya sangat besar.
"Pada dasarnya, itulah masa depan yang kita mahu lakarkan. Oleh itu, RMK-13 menjadi dokumen perancangan yang sangat penting, mengambil kira trajektori itu,” katanya.
Sementara itu, Rafizi berkata, kerajaan akan memberi penekanan kepada beberapa sektor dalam RMK-13 termasuklah pendidikan, kesihatan dan keseimbangan ekonomi kepada masyarakat.
Katanya, dokumen perancangan ekonomi negara untuk tempoh lima tahun itu akan menyediakan negara untuk beralih kepada masyarakat yang seimbang, mengambil kira perubahan yang akan berlaku seperti negara menua.
Terdahulu, dalam ucapan, Rafizi berkata RMK-13 akan mempunyai persamaan dengan RMK-1, dokumen strategik yang ringkas dan komprehensif dengan hala tuju dasar tertentu.
Beliau turut menekankan matlamat kerajaan untuk mengumpul pelbagai idea dan maklum balas bagi mewujudkan persekitaran yang kebimbangan dapat disuarakan dan kerajaan diberi panduan untuk mengambil langkah yang tepat.
Katanya kementerian akan menganjurkan sesi libat urus dan kumpulan fokus di 13 negeri di seluruh negara bermula akhir bulan ini sebagai sebahagian daripada program ‘Madani Mendengar’.
Sesi libat urus itu akan menjadi platform untuk kementerian mengumpul maklum balas yang membina. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!