[VIDEO] Pengawal keselamatan didakwa rogol dua anak kandung

A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis, atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua anak kandung perempuan lebih lima tahun lalu.

Tertuduh berusia 39 tahun dan berbaju hitam bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus sembilan pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syazana Abd Lajis.

Berdasarkan pertuduhan rogol, dia dengan sengaja telah melakukan kesalahan sumbang mahram ke atas dua anak kandungnya berusia 13 dan 16 tahun dalam dua kejadian berasingan.

Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika disabitkan kesalahan.

Pengawal keselamatan berusia 39 tahun ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Alor Gajah, pada Khamis.
Pengawal keselamatan berusia 39 tahun ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Alor Gajah, pada Khamis.

Dia juga berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual kepada mangsa sama.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang boleh dipenjara selama 20 tahun dan juga sebatan, sabit kesalahan.

Lelaki itu juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap dua anak perempuannya itu ketika berusia 12 tahun dan 16 tahun.

Artikel Berkaitan:

Dia turut didakwa melakukan kelucahan melampau dengan kepada anaknya ketika mangsa berusia 13 tahun yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 377E kanun sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada tiga tahun sehingga 15 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Kampung Panchor, Durian Tunggal di sini antara pertengahan November 2018 dan pertengahan Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan serta tertuduh dikenakan syarat tambahan.

Hakim Syazana kemudian menetapkan jaminan RM108,000 oleh seorang penjamin warganegara bagi kesemua sembilan pertuduhan serta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan

Mahkamah juga menetapkan 9 Oktober depan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!