Isu SD: Bukan tak boleh 'move on', tapi mungkin berlaku kesalahan jenayah

Tun Faisal (tengah) bersama Muhammad Rafique (kiri) ketika sidang akhbar sebelum membuat laporan polis ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Khamis.
Tun Faisal (tengah) bersama Muhammad Rafique (kiri) ketika sidang akhbar sebelum membuat laporan polis ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bukan tidak boleh 'move on' dengan isu surat akuan bersumpah (SD) tetapi perkara itu membabitkan pelanggaran Perlembagaan negara.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, jika berlaku pelanggaran Perlembagaan, perkara itu pastinya tidak boleh 'diteruskan'.

Beliau berkata, ia satu perkara besar kerana membabitkan kesalahan melanggar Perlembagaan dan melantik seorang Perdana Menteri.

"Kita boleh 'move on' kalau tidak ada kesalahan berlaku dalam perkara ini, namun kemungkinan ada jenayah yang berlaku.

"Jenayah yang kemungkinan berlaku adalah menipu Yang di-Pertuan Agong dan keduanya menghalang ahli Parlimen daripada menjunjung perintah Agong untuk menghadap.

"Selain itu, jenayah lain adalah membuat tiga dokumen yang menghalang ahli Parlimen daripada membuat keputusan atau pendirian secara bebas. Di sini juga berlaku pemalsuan," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebelum membuat laporan polis ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Hadir sama, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, pihaknya sama sekali tidak boleh 'move on' dengan dosa-dosa yang telah dilakukan berhubung isu SD.

Tegas beliau, tindakan 'move on' tidak boleh berhenti sehingga orang ramai faham dengan apa yang telah berlaku.

Jelas beliau, keluhuran Perlembagaan kena ditunjukkan ia benar-benar berlangsung di negara ini.

"Kita boleh 'move on' sekiranya tidak berlaku sebarang pelanggaran kepada kehendak Perlembagaan," ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Rafique berkata, sesiapa sahaja yang merasakan ada keperluan menerangkan sekali lagi dari segi perundangan, mereka boleh teruskan dan tiada masalah untuk mempersoalkannya.

Beliau yang juga peguam kepada Sekretariat Selamatkan Malaysia berkata, sekiranya ada pihak yang mempersoalkan 'move on' dan segalanya, ia membuktikan golongan itu tidak faham berkenaan Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, terdapat satu klausa iaitu Perkara 43 berkenaan bagaimana seorang Perdana Menteri itu dilantik daripada majoriti dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Malah katanya, di bawah perkara sama, terdapat satu lagi sub topik iaitu seorang Perdana Menteri yang boleh hilang kelayakan.

"Perkara ini membenarkan hak-hak berkaitan dengan hilangnya kuasa kelayakan seorang Perdana Menteri.

"Maka rakyat boleh bercakap mengenai hal kelayakan tersebut. Ini adalah antara isu yang kita ingin bangkitkan supaya orang ramai faham," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!