ADUN lantikan bukan bermotif politik - Wan Rosdy

Laporan Sinar Harian. (Wan Rosdy)
Laporan Sinar Harian. (Wan Rosdy)
A
A
A

KUANTAN - Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang selesai mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang bukan bermotifkan politik sebagaimana didakwa pembangkang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya lantikan itu berdasarkan kepada keperluan untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.

"Kalau pembangkang cakap dari sudut politik itu hak dan tafsiran mereka, tetapi ia adalah tidak benar sama sekali.

"Namun, kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab melihat ia dari sudut membantu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Pahang kepada pelajar Yayasan Pahang di Dewan Block C, Wisma Sri Pahang pada Khamis.

Terdahulu, istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan lima ADUN lantikan itu berlangsung di hadapan Speaker DUN, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ADUN lain.

Wan Rosdy beramah mesra dengan penerima selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Pahang kepada pelajar Yayasan Pahang di Dewan Block C, Wisma Sri Pahang, pada Khamis.
Wan Rosdy beramah mesra dengan penerima selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Pahang kepada pelajar Yayasan Pahang di Dewan Block C, Wisma Sri Pahang, pada Khamis.

Istiadat mengangkat sumpah dimulakan dengan Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Pekan Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Rizal Jamin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Rosdy menjelaskan Pahang merupakan negeri besar, luas dan disebabkan itu ADUN lantikan diperlukan bagi membantu rakyat.

"Mereka tidak ada kawasan dan (tapi) boleh (berada) di seluruh Pahang serta salur maklumat terus kepada saya apabila diperlukan," ujarnya.

Pada Mei lalu, Sinar Harian melaporkan kenyataan pembangkang di Pahang yang mendakwa lima ADUN lantikan yang diluluskan pada persidangan DUN baru-baru ini berlandaskan politik semata-mata.

ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin berkata, kewujudan mereka sebenarnya tidak berfungsi, selain tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!