Pemotong rumput maut terkena renjatan elektrik
MELAKA - Seorang pekerja pemotong rumput warga Bangladesh maut terkena renjatan elektrik di Taman Perkota, Bukit Baru di sini pada pagi Khamis.
Dalam kejadian lebih kurang jam10.30 pagi itu, mangsa, Habib Ullah, 39, dipercayai mahu mengalihkan kabel utiliti yang berselerak di atas tanah di kawasan itu sebelum terkena renjatan elektrik.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan yang dilakukan mendapati ketika kejadian mangsa sedang mesin rumput di bahu jalan bersebelahan tiang elektrik bernombor.
Menurutnya, terdapat saksi memaklumkan mangsa cuba mengalihkan kabel elektrik itu kerana mengganggu kerja-kerja pemotongan rumput.
"Ketika kejadian selain mangsa terdapat lima rakan sekerja mangsa yang berada di lokasi itu.
"Mangsa yang memegang kabel dan wayar elektrik bagaimanapun secara tiba-tiba badannya dipercayai mengalami renjatan elektrik sebelum saksi bersama rakan yang lain cuba membantu," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.
Jelasnya, rakan mangsa segera menggunakan kayu bagi menjauhkan mangsa daripada wayar elektrik itu selepas hampir satu minit mengalami renjatan.
Namun ujarnya, pasukan paramedik yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa yang sudah dua tahun bekerja di kawasan itu telah meninggal dunia.
"Hasil pemeriksaan dan pemerhatian terhadap fizikal si mati dan sekitar tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur perbuatan jenayah.
"Mayat telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Melaka untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!