ATM siap sedia hadapi sebarang kemungkinan

Mohamed Khaled ketika berucap pada Program Executive Lecture Menteri Pertahanan Bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam di UPSI hari ini. Foto Bernama
Mohamed Khaled ketika berucap pada Program Executive Lecture Menteri Pertahanan Bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam di UPSI hari ini. Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pasukan pertahanan negara termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuklah berkaitan isu pertindihan tuntutan wilayah di kawasan Laut China Selatan oleh beberapa negara termasuk China.

Ia susulan kebocoran maklumat Nota Diplomatik dari China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing bertarikh 18 Februari lalu yang sedang disiasat Kementerian Luar ketika ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun perkara itu masih dalam siasatan, kementeriannya perlu membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berhubung situasi tersebut.

"Surat itu belum ada kesahihan, tapi memang kita tak nafikan ada tuntutan bertindih di kawasan Laut China Selatan, memang ada.

"Kita sentiasa memerhatikan apa yang berlaku antara China dan Filipina dan kita tidak tolak kemungkinan kita perlu bersedia," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Executive Lecture Menteri Pertahanan bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam di Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pemangku Panglima Tentera Laut, Datuk Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Pada Rabu, media melaporkan Kementerian Luar memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman dan akan membuat laporan polis berhubung kebocoran Nota Diplomatik daripada Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada Februari lepas.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata nota berkenaan diterbitkan dalam satu artikel oleh portal media Filipina pada 29 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Kebocoran maklumat itu akan disiasat oleh pihak kementerian secara rapi memandangkan ia mengandungi maklumat kerahsiaan dan kedaulatan negara-negara.

Nota yang disiarkan oleh media Filipina itu menunjukkan dakwaan Beijing bahawa penerokaan minyak dan gas Malaysia di Laut China Selatan telah memasuki sempadan perairan China.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menegaskan Malaysia tidak akan menghentikan operasi meneroka kawasan yang berpotensi mempunyai minyak dan gas di Laut China Selatan, biarpun wujud bantahan daripada China kononnya negara ini telah melepasi sempadan yang dibenarkan.

Beliau turut mempertahankan bahawa operasi berkenaan dilakukan di dalam kawasan perairan negara dan Malaysia tidak membuat sebarang provokasi.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan China bertegas hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) seluas 200 batu nautika yang dikongsi Malaysia, Filipina, Brunei, Taiwan dan Vietnam adalah di bawah kedaulatannya.

Di bawah undang-undang antarabangsa, EEZ tidak menandakan kedaulatan sesebuah negara tetapi memberi hak kepada negara yang berkenaan untuk mengekstrak hasil bumi di dalam zon tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!