Usaha perangi berita palsu dianggap hadkan kebebasan bersuara - MCMC

Zulkarnain
Zulkarnain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha mengawal selia platform media sosial untuk memerangi penyebaran berita palsu disifatkan mencabar kerana peraturan tersebut mesti berkesan dalam menangani kesan negatif berita palsu tanpa mengehadkan kebebasan bersuara rakyat.

Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata, ia kerana sebarang usaha kerajaan untuk mengawal berita palsu mungkin dilihat sebagai cubaan untuk mengehadkan kebebasan bersuara.

Katanya, disebabkan perkara itu, MCMC perlu melihat dari perspektif kawalan atau keseimbangan antara kepentingan masyarakat dan kepentingan individu dalam menangani isu pelesenan untuk penyedia perkidmatan media sosial.

“Persepsi (kononnya kerajaan cuba hadkan kebebasan bersuara) sememangnya tidak benar kerana terdapat bahaya yang boleh menjejaskan negara, masyarakat dan individu.

“Kami mempunyai pelbagai pendekatan untuk mencapai keseimbangan. Jadi sebarang inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat mungkin terganggu disebabkan oleh berita palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis dalam sesi bertajuk Ekosistem Dalam Talian Malaysia pada Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Sesi itu turut menampilkan tiga lagi panelis lain iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf; Penyelidik Bersekutu Kanan Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Jun-E Tan dan Pengarah serantau untuk Asia Tenggara di Forum Global mengenai Kepakaran Siber, Allan Salim Cabanlong.

Justeru, Zulkarnain menegaskan, keputusan kerajaan untuk mewajibkan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan media sosial termasuk pesanan internet berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan adalah langkah proaktif.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, langkat terbabit untuk melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna selain untuk memelihara keharmonian negara.

Persidangan berkenaan dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), Kementerian Komunikasi dan MCMC dengan kerjasama UNICEF Malaysia, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!