Pemilik syarikat didenda RM81,000 menipu dapatkan tender

Tertuduh (tengah) yang juga pemilik syarikat didenda RM81,000 selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Labuan.
Tertuduh (tengah) yang juga pemilik syarikat didenda RM81,000 selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Labuan.
A
A
A

LABUAN - Seorang pemilik syarikat didenda sebanyak RM81,000 selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menipu bagi mendapatkan tender kerja pembersihan di sini.

Kasmina Kassim, 50, membuat pengakuan bersalah bagi tiga pertuduhan pilihan itu di hadapan Hakim Jason Juga di Mahkamah Sesyen Labuan, di sini pada Khamis.

Menurut pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik syarikat Talka Trading menggunakan dan mengemukakan penyata akaun bank bagi bulan Ogos dan September 2020 kepada Jabatan Perbadanan Labuan dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Tertuduh menggunakan dokumen itu sebagai palsu untuk menipu bagi tujuan mendapatkan tender kerja perkhidmatan pembersihan kawasan perumahan di sekitar Labuan.

Selain itu, tertuduh juga menggunakan dokumen itu bagi mendapatkan tender bagi kerja menyelenggara dan membaik pulih kerosakan ruang kerja di pejabat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Nilai keseluruhan bagi kedua-dua tender tersebut adalah sebanyak RM331,488.

Tertuduh telah dituduh pada 21 September 2023 di bawah sesyen 471 Kanun Keseksaan namun membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan pada Khamis.

Sehubungan itu, mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM27,000 bagi setiap satu kesalahan dan jika jika gagal bayar dipenjara empat bulan bagi setiap pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!