Harimau Malaya tagih sokongan peminat aksi final

Pemain negara, Safawi Rasid meraikan jaringannya pada perlawanan separuh akhir Pestabola Merdeka menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.
Pemain negara, Safawi Rasid meraikan jaringannya pada perlawanan separuh akhir Pestabola Merdeka menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.
A
A
A

HARIMAU Malaya amat mengharapkan sokongan peminat dalam misi skuad negara menjulang piala Pestabola Merdeka dalam perlawanan akhir di stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad.

Isu boikot menyelubungi aksi Pestabola Merdeka kali ini, namun kehadiran kira-kira 15,800 penyokong pada aksi separuh akhir ketika Harimau Malaya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Filipina pada Rabu tetap memberikan tonik kepada pemain negara.

Pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente berkata, beliau percaya lebih ramai penyokong dapat hadir pada perlawanan akhir sekali gus memberikan motivasi tinggi kepada pasukan ketika menentang Lubnan.

"Saya harap penyokong penuhkan stadium untuk perlawanan akhir. Saya tidak tahu berapa ramai yang datang hari ini (Rabu), tetapi saya dapat rasakan sokongan penuh.

"Mereka menyokong daripada minit pertama sehingga akhir dan saya rasa mereka menikmati persembahan kami. Sudah tentu saya mengharapkan lebih ramai yang akan datang pada Ahad ini," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Sebelum ini, Ultras Malaya menyatakan pendirian mereka untuk memboikot aksi Pestabola Merdeka kerana tidak berpuas hati dengan beberapa perkara dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk isu peletakan jawatan Kim Pan-gon.

Namun, isu boikot itu tidak menghalang skuad kendalian Pau Marti itu meraih kemenangan biarpun terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk menempah tiket perlawanan akhir.

Dalam pada itu, beliau tidak mahu mengambil kredit atas kemenangan pasukan walaupun boleh diibaratkan lulus ujian pertama dalam kemenangan ke atas Filipina itu.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, beliau menyifatkan kemenangan itu lebih penting kepada pasukan dan bertekad untuk melakar lebih banyak kemenangan.

"Ia tidak semudah yang kami jangkakan tetapi akhirnya kami berjaya memperoleh keputusan yang kami harapkan iaitu kami mara ke perlawanan akhir. Seperti yang saya katakan sebelum ini kini kami sudah berada di final, dan kami juga mahu menang," katanya yang mengambil alih tugas sebagai pengendali Harimau Malaya selepas Pan-gon meletakkan jawatan.

@sinarharianonline

Harimau Malaya tagih sokongan peminat aksi final #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Sukan #BolaSepak #HarimauMalaya #PestabolaMerdeka

News - ComaStudio

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!