Bau kimia 'merebak' di Taman Daya

JAS memasang penghadang minyak di anak Sungai Pandan.
JAS memasang penghadang minyak di anak Sungai Pandan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bau kimia yang tidak menyenangkan dikesan di kawasan Taman Daya, di sini pada tengah hari Khamis.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, sebaik menerima aduan terbabit, pasukan bomba dan penyelamat dikejarkan ke lokasi bagi melakukan siasatan.

"Bagaimanapun ketika anggota bomba tiba, bau tersebut sudah hilang. Dengan bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS), mereka pergi ke lokasi yang sebelum ini dikenal pasti oleh JAS sebagai kawasan yang mencurigakan.

"Pengadu juga dibawa ke lokasi tersebut dan mengesahkan bahawa bau yang dihidu adalah serupa dengan yang dilaporkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, pasukan bomba dan penyelamat turut mengumpulkan sampel tanah, air, serta sisa buangan yang ditemui di situ untuk dihantar bagi tujuan analisis.

Selain itu, ujarnya JAS juga telah memasang penghadang minyak (Oil Boom) di lokasi tersebut.

Sampel tanah, air, serta sisa buangan diambil untuk dianalisis.
Sampel tanah, air, serta sisa buangan diambil untuk dianalisis.

"Sehingga kini, pegawai dari Jabatan Kesihatan telah melawat sekolah-sekolah berhampiran untuk menjalankan pemeriksaan dan memberi panduan.

Artikel Berkaitan:

"Namun, belum ada yang tampil ke hospital atau klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan akibat pencemaran bau kimia tersebut.

"Sekiranya penduduk merasa tidak selesa selepas menghidu bau tersebut, mereka disarankan untuk mendapatkan nasihat di hospital atau klinik berdekatan," katanya.

Pencemaran bau dikesan di kawasan sekitar Taman Mount Austin, Taman Daya, Taman Istimewa dan Kampung Melayu Pandan di sini, pada Selasa.

Penduduk di Kampung Melayu Pandan dan taman sekitarnya, pula mendakwa mengalami pening kepala dan loya selepas pencemaran bau berlaku.

Ia menyebabkan sebuah tadika dan sekolah agama di Kampung Melayu Pandan terpaksa ditutup pada hari kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!