'Hari ini crush kita buat homework' - Menteri arah siasat akaun TikTok 'Abang Bas'

Respon Nancy terhadap hantaran @JatIkhwan di aplikasi X
Respon Nancy terhadap hantaran @JatIkhwan di aplikasi X
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap seorang pemandu bas sekolah yang merakam video kanak-kanak dalam kenderaan tersebut hingga tular di media sosial.

Nancy berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) negeri Johor bagi membantu siasatan.

Nancy
Nancy

“Perlakuan seperti ini (merakam dan memuat naik video kanak-kanak di media sosial) tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya dinormalisasikan.

“Saya telah mengarahkan JPKK untuk membuat laporan polis dengan segera dan kami bersedia bekerjasama dengan D11 IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Johor,” katanya menerusi hantaran di laman X pada Khamis.

Sebelum ini seorang pengguna X melahirkan kegusaran terhadap kandungan pemilik akaun TikTok dengan nama 'Abang Bas' ekoran memuat naik video gelagat murid perempuan sekolah rendah ketika dalam kenderaan tersebut.

Menerusi hantarannya, @JatIkhwan mempersoalkan tindakan serta tajuk kapsyen yang digunakan lelaki itu di laman media sosial berkenaan.

“Kapsyen (yang ditulis) tidak sesuai. Kamu tidak boleh siarkan (video) anak perempuan seseorang yang masih sekolah rendah dengan kapsyen 'hari ini crush kita buat homework'.

Artikel Berkaitan:

“Sudah ramai yang bercakap tentang akaun TikTok mencurigakan ini, yang mempunyai lebih 600,000 pengikut,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!