Jepun, Bahrain buka gelanggang langkah kanan

Mitoma meraikan jaringan bersama pemain Jepun lain ketika menentang China dalam perlawanan di Stadium Saitama, Saitama, pada Khamis. Foto AFP
Mitoma meraikan jaringan bersama pemain Jepun lain ketika menentang China dalam perlawanan di Stadium Saitama, Saitama, pada Khamis. Foto AFP
A
A
A

GERGASI Asia Jepun dan Bahrain membuka gelanggang Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia dengan langkah kanan pada Khamis.

The Blue Samurai kendalian Hajime Moriyasu tidak berdepan masalah membelasah China, asuhan Branko Ivankovic 7-0 dalam aksi Kumpulan C di Stadium Saitama dengan bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Kaoru Mitoma dan Wataru Endo meledak gol.

Pemain sayap Brighton, Mitoma, yang terlepas aksi tahun ini kerana kecederaan, membuat penampilan pertamanya untuk Jepun sejak Piala Asia pada Januari.

Dia menjelmakan gol hasil tandukan minit ke-47, di hadapan lebih 50,000 penyokong di Saitama, selepas bintang Liverpool, Endo memberikan pendahuluan kepada tuan rumah minit ke-12.

Takumi Minamino menambah dua lagi gol minit ke-52 dan 58 selepas rehat untuk meletakkan Jepun selesa mendahului China yang mengintai slot ke Piala Dunia pertama sejak 2002.

Junya Ito, yang juga bermain untuk Jepun buat kali pertama sejak Piala Asia, menjaringkan satu lagi gol minit ke-77 sebelum gol lewat Daizen Maeda (m-87) dan Takefusa Kubo (m-95) menyempurnakan persembahan dominan armada Moriyasu.

Sementara itu, Australia menyingkap kempen dengan kekalahan 0-1 kepada Bahrain dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Robina, Gold Coast, Queensland.

Gol sendiri pemain pertahanan Harry Souttar pada minit ke-89 memberikan tiga mata berharga buat anak buah Dragan Talajic ke atas angkatan Graham Arnold.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Korea Selatan gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila terikat tanpa jaringan menentang Palestin dalam aksi Kumpulan B di Stadium Piala Dunia Seoul.

Aksi Kumpulan B itu, Taegeuk Warriors kendalian Hong Myung-bo yang menguasai penguasaan bola gagal memecah keampuhan benteng Lions of Canaan, asuhan Makram Daboub dalam perlawanan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!