Stuart banyak bawa perubahan positif

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

KREDIBILITI bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam tidak akan dilupakan apabila bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu sah meninggalkan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) berkenaan.

Rakan kongsi Liga-M turut berkongsi rasa sedih apabila Stuart tidak menyambung kontraknya bersama MFL yang tamat pada 31 Ogos lalu mengharapkan yang terbaik untuk beliau selepas ini.

Pengurus Besar Perak FC, Neow Choo Seong berkata, Stuart telah banyak membantu pihaknya terutamanya apabila XOX Berhad pertama kali menjadi pemilik kepada Perak FC, dua tahun lalu.

“Sebelum ini apabila XOX Berhad jadi pemilik kepada kelab Perak, sebagai kelab yang seperti dilahirkan semula, Datuk Stuart banyak membantu kami sebenarnya.

“Banyak memberi nasihat untuk memudahkan perjalanan kelab ini dan agak sedih apabila beliau sudah tidak lagi bersama MFL.

“Sudah tentu, kami semua akan merindui beliau dan Stuart telah menjadi rakan yang sangat baik kepada kami semua di kelab,” katanya.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon turut menyatakan kehadiran Stuart selama tiga tahun di MFL telah banyak membawa perubahan positif terutamanya daripada aspek komersial dan penjanaan hak penyiaran rasmi.

“Dari segi komersial dan kewangan kelab itu sendiri, saya boleh katakan Stuart telah beri impak positif untuk kita di kelab yang boleh menjana banyak pendapatan terutamanya daripada hak penyiaran.

Artikel Berkaitan:

“Dan kehadiran Astro selaku penyiar rasmi juga dapat memberikan dana yang konsisten kepada kelab di mana pemberian hak penyiaran itu begitu konsisten sejak Stuart hadir ke MFL.

“Apa pun, satu kehilangan yang cukup besar kepada industri bola sepak dan saya nak ucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” ujar Johan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard juga senada apabila menyifatkan sumbangan Stuart kepada setiap kelab bertanding cukup berharga dan pasti akan diingatinya sentiasa.

“Lumrah kehidupan bergelar CEO bahawa jawatan itu boleh bertukar ganti tetapi saya melihat apa yang dia dah buat selama ini telah berjaya meletakkan MFL di tahap yang lebih baik.

“Dari hari pertama beliau mengambil tugas selaku CEO sebelum ini, beliau sudah ada pemahaman mengenai acuan setiap kelab yang perlu diperhalusi.

“Itu kelebihan yang saya tengok ada pada beliau dan saya rasa ia adalah satu sumbangan besar telah dilakukan daripada Stuart kepada rakan-rakan kongsi liga selama ini,” katanya.

Stuart memulakan tugasnya selaku CEO pada 2021 menyaksikan beliau telah bertugas selama tiga tahun di badan organisasi MFL.

Posisi beliau diambil alih oleh bekas delegasi LaLiga, Giorgio Pompili Rossi selaku CEO yang baharu yang telah diumumkan MFL pada Khamis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!