Perogol dihukum mati, penjara seumur hidup

Kumpulan doktor junior berarak sambil mengibarkan bendera kebangsaan ketika menyertai demonstrasi di Kolkata.
Kumpulan doktor junior berarak sambil mengibarkan bendera kebangsaan ketika menyertai demonstrasi di Kolkata.
A
A
A

KOLKATA - Dewan Perhimpunan Bengal Barat, India pada Selasa sebulat suara meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk mengenakan hukuman mati dan penjara seumur hidup ke atas perogol yang mengakibatkan kematian atau kesan psikologi teruk kepada mangsa.

Beberapa cadangan lain akan turut digubal di bawah RUU Wanita dan Kanak-kanak Aparajita termasuk pasukan petugas khas diketuai pegawai wanita bagi mempercepatkan siasatan kes pemerkosaan dan perbicaraan segera di mahkamah.

RUU tersebut bagaimanapun perlu terlebih dahulu dikemukakan kepada gabenor negeri berkenaan untuk diluluskan.

Ia diinspirasikan daripada kisah menyayat hati yang menimpa seorang doktor pelatih di RG Kar Medical College pada 9 Ogos lalu.

Mangsa berusia 31 tahun ditemui mati di sebuah bilik seminar di hospital berkenaan dan pembunuhan kejam doktor pelatih berkenaan telah mencetuskan siri protes selama hampir empat minggu yang menuntut keadilan buatnya.

Hasil siasatan pihak berkuasa akhirnya membawa kepada penahanan seorang suspek, Sanjay Roy yang mendakwa kononnya dia diperangkap.

Banyak pihak melihat RUU tersebut sebagai satu langkah ke arah keadilan dan mendapat sokongan penuh ahli dewan meskipun kes rogol tidak pernah selesai di negara Asia Selatan itu.

Salah seorang penunjuk perasaan, Sujata, 55, antara yang menyokong RUU berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Penunjuk perasaan turut melaungkan slogan menuntut keadilan buat mangsa.
Penunjuk perasaan turut melaungkan slogan menuntut keadilan buat mangsa.

“Ia perlu memberi pengajaran kepada rakyat supaya mereka sedar dengan hukuman tegas seperti itu,” ujarnya.

Aktivis hak kesihatan mental, Piya Chakraborty, 39, bagaimanapun mempunyai pendapat yang berbeza.

“Pemerintah wajar memberi tumpuan kepada pembaharuan sistemik yang lebih besar bagi menangani jenayah rogol dan menuding jari menyalahkan mangsa,” katanya.

Menurut peguam bela di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Agung Calcutta, Jhuma Sen, RUU tersebut adalah 'jalan mudah' bagi negeri Bengal Barat untuk menyatakan 'kami sudah mempunyai undang-undang'.

“Hakikatnya, sebahagian daripada RUU tersebut adalah tidak berperlembagaan kerana undang-undang India melarang hukuman minimum mandatori untuk sebarang jenayah,” jelasnya.

Peguam yang menentang RUU hukuman mati juga percaya ia tidak akan dapat mengekang jenayah kerana mungkin ada individu yang benar-benar tidak bersalah yang terpaksa menjadi kambing hitam demi untuk memuaskan hati orang awam.

Pengarah pengurangan hukuman mati di pusat bantuan guaman dan penyelidikan pro bono Projek 39A, Maitreyi Misra percaya RUU itu tidak akan dapat menegakkan keadilan kerana tiada jaminan.

“Proses siasatan juga berpotensi berdepan banyak 'kecacatan' termasuk jika perbicaraan dilakukan secara tergesa-gesa. Apakah jenis keadilan yang kita cuba perjuangkan?” tambahnya.

Peserta protes menyalakan lilin sebagai simbol membantah pemerkosaan dan pembunuhan seorang doktor pelatih pada bulan lalu.
Peserta protes menyalakan lilin sebagai simbol membantah pemerkosaan dan pembunuhan seorang doktor pelatih pada bulan lalu.

Chakraborty yang menyertai perhimpunan untuk menyelar RUU tersebut turut melaungkan slogan menuntut siasatan lebih telus dan keadilan buat mangsa.

“Keadilan tidak boleh dicapai dengan tindakan terburu-buru,” tegasnya.

'POLIS CUBA RASUAH KAMI'

Waris keluarga mangsa rogol kejam itu mendakwa polis Kolkata cuba 'menutup' kes tersebut dengan mahu membakar mayatnya secara tergesa-gesa.

Bapanya mendedahkan pihak berkuasa mahu merasuah mereka selepas kejadian menggemparkan itu turut mendapat perhatian komuniti antarabangsa.

“Macam-macam helah polis sejak dari awal. Kami tidak dibenarkan lihat mayat anak kami dan terpaksa menunggu sehingga prosedur post-mortem selesai.

“Selepas mayatnya diserahkan kepada kami, seorang pegawai kanan cuba menawarkan sejumlah wang untuk menutup mulut,” kata bapa mangsa dalam nada sedih.

Kedua-dua ibu bapa doktor pelatih pasca siswazah itu turut menyertai demonstrasi bagi menuntut keadilan buat anak perempuan mereka.

Sejak 10 Ogos lalu, siri tunjuk perasaan dilancarkan di seluruh negeri Bengal Barat yang disertai pelbagai kumpulan termasuk profesional perubatan yang menggesa akauntabiliti dan tindakan tegas terhadap pelaku.

Pada awal minggu, ribuan masih lagi berarak sambil membawa obor dan lilin bagi menzahirkan bantahan selain beberapa bangunan kediaman memadamkan lampu sebagai simbol protes dan solidariti bersama mangsa. - Agensi

INFO:

Data rasmi menunjukkan 95 peratus kes hukuman mati dari tahun 2000 hingga 2015 sama ada berakhir dengan pembebasan atau hukuman diringankan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!