Kontraktor kekurangan dron, pekerja punca lewat baja sawah padi

Keratan akhbar Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Rivoldiantoe
Keratan akhbar Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Rivoldiantoe
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor sentiasa menjalankan pemantauan terhadap sebuah syarikat kontraktor berikutan kelewatan kerja-kerja penaburan baja bagi projek rintis tanaman padi di Blok L1 hingga L20 Sungai Leman, Sekinchan.

Pengarahnya, Rivoldiantoe Basran berkata, pada masa ini berlaku kelewatan bagi kerja-kerja penaburan baja pada usia padi melangkaui tujuh hingga 15 hari sedangkan ia sepatutnya dilakukan seawal penanaman padi lima hari.

Menurut beliau, hasil semakan pihaknya mendapati beberapa punca kelewatan antaranya isu kekurangan dron dan pekerja.

"Semasa sesi dialog antara pihak kami, syarikat dan pesawah sebelum ini, mereka (syarikat bertanggungjawab) memberi jaminan mempunyai kepakaran dan peralatan mencukupi.

"Namun, setelah kerja-kerja pelaksanaan, timbul pula masalah yang menyebabkan padi lewat ditabur baja," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Rivoldiantoe berkata, sehingga kini, sebanyak lebih 1,000 hektar kawasan tanaman padi di Sungai Leman sudah menerima penaburan baja sejak Ogos lalu.

Bagaimanapun, katanya, terdapat kira-kira 400 hektar masih belum ditabur baja dan berharap ia dapat dipercepatkan.

"Istilah kelewatan ini juga perlu dilihat dari sudut kontrak perjanjian pembekalan tersebut demi menjaga kepentingan pesawah dan pihak kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga berharap syarikat dapat berinteraksi dengan pesawah dan menerangkan keadaan sebenar serta berusaha menyelesaikan isu ini segera," kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, beberapa cadangan diberikan kepada syarikat pengendali antaranya mengadakan kerjasama dengan pembekal perkhidmatan lain yang mempunyai kepakaran bagi membantu mempercepatkan penaburan baja padi.

"Pemantauan dari semasa ke semasa memang kita laksanakan sejak dari awal lagi.

"Kami cuba membantu dan mahu memastikan masalah seperti ini dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan ia berulang pada taburan baja seterusnya," tambah beliau.

Beliau memberitahu, projek baja rintis dilaksanakan secara pembajaan tepat dan khusus berdasarkan maklumat soil profiling mengikut status kesuburan tanah di kawasan yang dikenalpasti.

Ujar beliau, terdapat empat negeri terlibat menerusi projek baja rintis iaitu Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan.

Jelas Rivoldiantoe, empat zon di IADA Barat Laut Selangor terlibat iaitu di Sawah Sempadan, Sungai Burung, Sekinchan dan Sungai Leman.

"Formulasi baja ini tidak sama untuk keempat-empat kawasan terlibat dan kita menjangkakan pengeluaran hasil lebih baik kerana memenuhi semua keperluan di kawasan terlibat," ujar beliau.

Rivoldiantoe memberitahu, penentuan peningkatan hasil padi bukan bergantung kepada pembajaan sahaja.

"Faktor lain seperti cuaca, serangan penyakit dan perosak tanaman, pengurusan air, pengurusan tanaman serta inisiatif petani juga perlu diambil kira," tambah beliau.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, kira-kira 1,920 hektar tanaman padi di Blok L1 hingga L20 Sungai Leman, Sekinchan yang terlibat dalam skim baja rintis berdepan kelewatan menerima bekalan baja sedangkan pokok padi sudah ditanam secara berperingkat bermula Ogos lalu.

Seorang pesawah, Mohamad Asri Badron, 64, berkata, keadaan itu membimbangkan kira-kira 1,000 pesawah yang terlibat dalam skim baja rintis musim kedua tanaman tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!