'Pupuk rasa empati, cintakan Islam'
SHAH ALAM - Program Mobiliti Korea 2024 anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menawarkan peluang unik kepada delegasi pelajar UIAM untuk menerokai pengalaman pendidikan dan sosial dalam konteks silang budaya di Korea Selatan.
Seramai 14 pelajar, empat pensyarah dan seorang staf pengiring daripada Kuliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari UIAM, Kampus Pagoh, Johor akan menyertai Program Mobiliti (Outbound) Komunikasi Silang Budaya Global di Korea Selatan selama 10 hari bermula dari 8 September hingga 17 September 2024.
Dalam tempoh tersebut, UIAM mengambil inisiatif mengadakan program kemasyarakatan melibatkan pelajar Muslim dari Universiti Sun Moon dan pengunjung Masjid Besar Seoul, Itaewon.
Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, UIAM Pagoh merangkap Penasihat Program, Dr Arina Johari berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar serta memainkan peranan penting dalam memperkasakan komuniti minoriti di negara tersebut.
“Pelajar UIAM diberi pendedahan secara menyeluruh mengenai kehidupan dan cabaran yang dihadapi oleh komuniti Muslim di Korea Selatan.
“Mereka berpeluang untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama komuniti khususnya golongan pelajar Islam di sana dalam memupuk rasa empati dan cintakan Islam,” katanya.
Menurutnya, sesi Tadabbur Surah Al-Jumu’ah akan menjadi titik permulaan jihad kecil mereka dalam memperjuangkan agama Islam di sana.
Katanya, program akan menjadi platform penting untuk memastikan generasi muda tidak mudah terpengaruh oleh anasir luar yang boleh menggugat iman dan moral mereka.
Arina berkata, bagi memastikan kelancaran program berkenaan pihak penganjur sedang giat mengumpul dana melalui sumbangan korporat, orang ramai dan persendirian.
Bagaimanapun katanya, dana dikumpulkan masih belum mencukupi dan penganjur berharap lebih ramai pihak dapat memberi sumbangan bagi merealisasikan Program Mobiliti Korea 2024 itu.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun IIUM Operating Account bernombor 1-407-000-000-4716 (Bank Muamalat Malaysia Berhad) dengan rujukan MKorea QH 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!