Rakyat Indonesia, majikan perlu ada permit sah
JOHOR BAHRU – Rakyat Indonesia termasuk majikan yang bekerja di negara ini perlu memiliki dokumen selain mematuhi permit agar tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Menurut Konsul Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru, Sigit Suryantoro Widiyanto, perkara tersebut penting supaya tidak timbul sebarang masalah kelak.
“Kita sememangnya mengharapkan rakyat Indonesia yang bekerja di sini, bekerja dengan cara yang baik dengan memiliki permit atau dokumen yang sah.
“Malah, dalam masa sama, para majikan atau pemberi kerja di Johor serta di seluruh Malaysia juga diharap hanya mengambil pekerja-pekerja dari Indonesia yang memiliki permit.
“Ringkasnya, yang dari Indonesia kena ikut permit, yang dari Malaysia (majikan) pun ikut permit,” katanya.
Sigit Suryantoro berkata demikian sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-79 Kemerdekaan Republik Indonesia di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sementara itu, Sigit Suryantoro berharap agar hubungan Indonesia, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bertambah baik pada masa akan datang.
Katanya, ia selaras dengan pelbagai inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan bagi tujuan berkenaan.
“Malam ini, kita merayakan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79 yang dulunya kita merayakan hubungan kita dengan Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
“Seperti sebelumnya, pihak majikan dan pekerja dari Indonesia mencadangkan feri Roll On Roll Off (RORO), khusus bagi meningkatkan urusan import dan eksport.
“Insyaa-ALLAH, dengan kerjasama yang erat kita akan dapat melakar lebih kemajuan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!