Anggota trafik alami simptom hilang memori selepas kemalangan

Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai kemalangan membabitkan anggota trafik pada 29 Julai lalu.
Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai kemalangan membabitkan anggota trafik pada 29 Julai lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Anggota polis trafik yang parah selepas bertembung dengan motosikal lain di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), di sini ketika penugasan Ops Samseng Jalanan pada 28 Julai lalu kini bergelut dengan simptom kehilangan memori.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, sehingga kini anggota berkenaan belum dapat memulakan tugas.

"Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad biasa.

"Dia kemudiannya dibenarkan keluar dari wad pada 16 Ogos lalu, namun masih belum sembuh sepenuhnya dan tidak dapat memulakan tugasnya," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, keadaan anggota yang mempunyai empat anak berusia empat hingga sebelas tahun itu semakin baik tetapi tidak banyak bercakap kerana sukar untuk mengingat sesuatu perkara.

"Bagaimanapun, kami di pihak JSPT Kontinjen Negeri Sembilan dan di peringkat Ibu Pejabat Daerah (IPD) serta rakan-rakan sering melawatnya untuk memberikan sokongan dan sebarang bantuan. Sama-sama kita doakan yang terbaik untuknya," katanya.

Sementara itu, mengenai kemalangan berkenaan yang membabitkan suspek remaja, beliau berkata,kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan masih berjalan dan dia akan dituduh di mahkamah jika siasatan sudah selesai. Difahamkan, ibu bapa remaja juga bakal dikenakan tindakan undang-undang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Media ini pada 28 Julai lalu melaporkan anggota polis trafik dan seorang remaja parah apabila kedua-dua motosikal dikatakan bertembung di Kilometer (KM) 36 (S), Lebuhraya Lekas.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban itu sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan apabila dikatakan dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!