Peniaga rugi lebih RM9,000 ditipu lelaki menyamar bomba

Seorang peniaga kerugian RM9,750 akibat ditipu individu menyamar sebagai bomba dengan menawarkan tender katering dan tempahan cenderahati. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azli)
Seorang peniaga kerugian RM9,750 akibat ditipu individu menyamar sebagai bomba dengan menawarkan tender katering dan tempahan cenderahati. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azli)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga kerugian RM9,750 akibat ditipu individu menyamar sebagai bomba dengan menawarkan tender katering dan tempahan cenderahati.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 33 tahun itu menerima mesej daripada nombor tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp pada 2 September lalu.

Menurutnya, suspek yang mengaku dari jabatan bomba Wakaf Tapai, Marang menawarkan tempahan perkhidmatan katering kepada mangsa bagi majlis penutupan sambutan merdeka di jabatan bomba tersebut.

"Dalam perbualan bersama suspek, mangsa telah bersetuju dengan tawaran tersebut dan telah berhubung dengan kenalan suspek bagi tujuan penyediaan cenderahati bagi program itu.

"Suspek turut meminta mangsa membuat pindahan wang ke akaun bank yang diarahkan dan mangsa dengan rela hati telah membuat pemindahan wang bagi tujuan tempahan cenderahati tersebut," katanya di sini, pada Jumaat.

Menurut Azli, mangsa berasa tertipu setelah gagal menghubungi lelaki tersebut kerana taliannya disekat selepas membuat transaksi wang sebanyak sekali.

"Mangsa juga telah membuat semakan dengan pihak jabatan bomba Wakaf Tapai untuk bertanya berkenaan hal itu dan pihak bomba menafikan ada membuat tempahan tersebut," ujarnya.

Beliau berkata, mangsa kemudian pergi ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Kuala Terengganu pada Rabu untuk membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini pihak polis telah menerima tiga laporan dibuat oleh mangsa yang diperdaya menggunakan modus operandi sama dan kes itu disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, Azli berkata, masyarakat dinasihat supaya sentiasa peka dan berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

"Orang ramai juga diminta mengambil langkah proaktif bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!