Logistik sama penting dengan produk halal

Ia bawa implikasi besar kepada umat Islam jika diabaikan

DI bawah Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), skim logistik halal diklasifikasikan kepada tiga segmen utama melibatkan pengangkutan, pergudangan dan peruncitan. -Foto: 123rf
DI bawah Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), skim logistik halal diklasifikasikan kepada tiga segmen utama melibatkan pengangkutan, pergudangan dan peruncitan. -Foto: 123rf
A
A
A

APABILA melihat lori atau kontena tertera logo halal pada badannya, kebanyakan kita menganggap barangan yang dibawanya sudah tentu mempunyai pensijilan itu.

Hakikatnya bukan setakat produk, tetapi pengangkutan itu juga mungkin mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri.

Rupanya memang ada pengangkutan diberi pengiktirafan halal di bawah skim logistik sebagaimana fakta yang penulis temukan ketika mengikuti Persidangan Logistik Halal Malaysia (MAHIC) 2024 di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Logistik tersenarai sebagai antara sembilan skim di bawah SPHM, di samping produk makanan dan minuman, premis makanan, kosmetik, farmaseutikal, produk barang gunaan, rumah sembelihan dan pengilangan kontrak.

Kepentingan logistik halal

Ketua Pusat Pengajian, Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Dr Mohd Dasuqkhi Mohd Sirajuddin menjelaskan, logistik begitu penting kerana ia muncul di antara beberapa pihak utama yang terlibat dalam persekitaran rantaian bekalan.

DR MOHD DASUQKHI
DR MOHD DASUQKHI

Artikel Berkaitan:

Pihak dimaksudkan ialah pembekal, pengilang atau pengeluar, pengedar atau pemborong dan peruncit.

“Setiap pihak berbeza dan sememangnya datang dari syarikat berlainan. Logistik muncul di antara, di tengah-tengah empat pihak utama tadi atau di dalam pihak berkenaan.

“Mudah kata, ia memfokuskan kepada pergerakan benda atau barang.

“Sementara itu, logistik halal melibatkan proses mengurus perolehan, pergerakan, penyimpanan dan pengendalian bahan bahagian haiwan dan inventori separuh siap, makanan dan bukan makanan melalui organisasi dan rantaian bekalan mengikut prinsip umum syariah,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Menerusi SPHM, ujar Dr Mohd Dasuqkhi, skim logistik halal diklasifikasikan kepada tiga segmen utama melibatkan pengangkutan, penggudangan dan peruncitan.

Merujuk kepada Akta Perihal Dagangan 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, beliau menjelaskan, terdapat beberapa aspek logistik yang perlu dititikberatkan.

“Ia termasuklah mengelakkan yang haram, binatang kena sembelih, tidak melibatkan najis, memabukkan, memberikan mudarat dan sebagainya.

LOGISTIK halal seperti pengangkutan begitu penting dalam rantaian bekalan kerana ia boleh mendatangkan implikasi besar jika tidak dikawal. -Foto: Canva
LOGISTIK halal seperti pengangkutan begitu penting dalam rantaian bekalan kerana ia boleh mendatangkan implikasi besar jika tidak dikawal. -Foto: Canva

“Selain itu, dalam Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 menerusi para (g) menyebut dengan jelas semua produk halal yang diperakui mesti tidak boleh bersentuhan dengan mana-mana produk yang gagal penuhi kriteria halal semasa disimpan, diangkut atau dipindahkan, tidak boleh bercampur sama ada di dalam stor, pengangkutan mahupun ruang punggah dan diletakkan berdekatan dengan produk tidak patuh kriteria halalan tayyiban,” tegasnya.

Isu kartel daging

Barangkali ada yang tertanya-tanya mengapa logistik halal dilihat agak ‘keras’ dan sulit dari segi pengoperasiannya

Ketika diajukan pertanyaan itu, Dr Mohd Dasuqkhi menjawab, ini kerana ia membabitkan banyak jenis dan kategori produk dalam industri.

“Terdapat produk sejuk, sejuk beku, segar, separuh masak, siap masak dan lain-lain yang memerlukan kepelbagaian kepakaran, teknologi dan lain-lain lagi.

“Sebab itulah definisi halal itu begitu menekankan supaya pihak industri ambil berat tentang aspek pengurusan logistik,” hurainya.

Peri pentingnya logistik halal sehinggakan ia boleh membawa implikasi besar kepada umat Islam yang sememangnya wajib mencari yang halal.

Mengambil contoh kes penghantar makanan tersalah hantar bungkusan tempahan mengandungi daging babi kepada keluarga Muslim sehinggakan anaknya termakan hidangan tersebut pada Jun lalu, kata Dr Mohd Dasuqkhi, kisah itu sepatutnya dijadikan iktibar.

KES penghantar makanan tersalah hantar bungkusan tempahan mengandungi daging babi kepada keluarga Muslim sehinggakan anaknya termakan hidangan tersebut pada Jun lalu, yang berpunca akibat logistik sepatutnya menjadi iktibar kepada umat Islam agar ia tidak berulang kembali. -Foto: Canva
KES penghantar makanan tersalah hantar bungkusan tempahan mengandungi daging babi kepada keluarga Muslim sehinggakan anaknya termakan hidangan tersebut pada Jun lalu, yang berpunca akibat logistik sepatutnya menjadi iktibar kepada umat Islam agar ia tidak berulang kembali. -Foto: Canva

Jelas beliau, perkara itu berpunca kerana kita mengabaikannya dan gagal memahami betapa pentingnya perkhidmatan logistik seperti penghantaran tersebut.

“Satu lagi contoh boleh dillihat ketika berlakunya isu kartel daging yang pernah melanda negara empat tahun lalu. Meskipun pesalahnya sudah dikenakan tindakan, tetapi penting untuk kita fahami fungsi logistik halal agar ia tidak berulang.

“Apabila datang produk daging sejuk beku dari luar negara, ada prosedur tertentu perlu dipatuhi. Andai tidak dititikberatkan, ada pengusaha yang mengambil kesempatan dengan mencampurkan sahaja daging halal dan haram di dalam gudang.

“Bayangkan jika tidak dikawal, bercampur halal dan haram, ditambah pula datang dari sumber najis mughallazah seperti babi, maka ia akan mencemarkan daging lain. Maka jatuhlah statusnya mutanajjis yang menjadi haram,” katanya.

ISU kartel daging yang pernah melanda negara empat tahun lalu antara salah satu contoh kesan jika kita mengabaikan skim logistik halal. -Foto: Canva
ISU kartel daging yang pernah melanda negara empat tahun lalu antara salah satu contoh kesan jika kita mengabaikan skim logistik halal. -Foto: Canva

Dalam pada itu, pensyarah tersebut mengakui kekangan kos menjadi antara cabaran utama pihak industri untuk membuat permohonan pensijilan halal bagi skim logistik itu.

“Walaupun membabitkan kos yang besar, tetapi ia sebenarnya satu keperluan untuk mengelak timbulnya masalah besar pada kemudian hari.

“Di sini perlukan kerjasama antara semua pemain industri halal dan juga kerajaan. Jika kerajaan boleh perkenalkan insentif tertentu ataupun pembangunan kemudahan halal lebih besar, itu lebih baik untuk menangani masalah tersebut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!