Pemandu bas sekolah tular rakam murid ditahan

Tangkap layar perkongsian di media sosial mengenai foto murid dimuat naik pemandu bas sekolah.
Tangkap layar perkongsian di media sosial mengenai foto murid dimuat naik pemandu bas sekolah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemandu bas yang memuat naik rakaman video murid sekolah rendah di dalam kenderaan itu hingga tular di media sosial telah ditahan di Simpang Renggam, Kluang.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, pada jam 2.57 pagi Jumaat.

"Polis Kontinjen Johor mengesahkan telah menerima laporan polis dan sedang menjalankan siasatan berhubung penularan rakaman video yang memaparkan kanak-kanak di dalam bas yang dipandu oleh seorang lelaki.

"Ia kemudian dimuat naik oleh pemilik atau pengendali akaun TikTok Abang Bas. Hantaran tersebut masih wujud dan boleh diakses di laman sosial," ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Kumar, telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut turut dirampas.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15 (a)(iii) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seskyen 15(2) Akta Kanak 2001," ujarnya.

Jelasnya lagi, polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang berada di dalam rakaman video terbabit supaya tampil membantu siasatan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi sebuah hantaran di X pada Khamis berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya dari Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) mengambil tindakan tegas itu kepada individu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tular beberapa video yang memaparkan seorang pemandu bas yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di TikTok, merakam beberapa murid sekolah perempuan yang dianggap pemandu bas tersebut sebagai 'crush' atau seseorang yang diminati atau disukai secara romantik.

Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid-murid tersebut dengan jelas.

Video-video itu setakat ini sudah mempunyai sebanyak 10.5 juta tanda suka atau ‘like’.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!