Peniaga rayu naik taraf lokasi niaga Terminal Pengangkutan Awam Kluang
KLUANG - Suatu ketika dahulu, Terminal Pengangkutan Awam Kluang dekat sini menjadi lokasi tumpuan penduduk kerana turut menempatkan lokasi perniagaan.
Pelbagai jenis premis perniagaan boleh ditemui dari pakaian, perkhidmatan menjahit, barang kemas, gerai makanan sejak beroperasi pada tahun 1995
Namun kini, keadaan kompleks terutama di kawasan peniaga mula berubah menjadi suram disebabkan lokasi berkenaan tidak lagi menjadi tumpuan.
Daripada 80 gerai yang beroperasi sebelum ini, kini hanya tinggal 10 gerai yang masih mampu bertahan di situ.
Selain gerai makan, beberapa kedai lain seperti serbaneka, emas, aksesori pakaian tentera, jahitan dan pakaian serta kaunter tiket bas dilihat yang masih bertahan walaupun pelanggan semakin berkurangan.
Seorang peniaga makanan, Rahimah Arazad, 64, berkata, suasana sepi itu mula dirasai sejak 12 tahun lalu selepas sebuah pusat membeli yang terletak di sebelah terminal ditutup.
"Sebelum ini, kami boleh dapat jualan antara RM300 ke RM400 sehari, tetapi hari ini, nak dapat RM100 pun susah. Kalau ada pun waktu cuti sekolah, di mana ramai pelanggan yang menggunakan bas.
"Sekarang ini hendak habiskan jualan hidangan ayam seekor pun susah. Kalau terjual habis memang syukur sangat.
"Namun saya dan suami tetap bertahan kerana sudah 29 tahun berniaga di sini dan ini sahaja punca rezeki kami," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Justeru, Rahimah berharap pemimpin yang dipilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dapat membawa suara peniaga di situ.
Jelasnya, usaha perlu dilakukan untuk menghidupkan semula kawasan terminal selain menambah baik kemudahan awam.
“Kemungkinan besar sambutan kurang disebabkan tiada daya penarik. Tambahan pula, bas kurang, kedai makan dan kedai serbaneka pun banyak yang dah tutup.
“Selain itu, tangga di sini curam dan orang-orang tua nak naik tak boleh,”ujarnya.
Sementara itu, pekerja aksesori pakaian tentera, Zakaria Wan Chik, 67, mengakui untuk mendapatkan jualan RM10 sehari ketika ini sangat sukar.
Jelasnya, rata-rata peniaga yang masih bertahan sudah menjalankan perniagaan lebih 10 tahun dan berharap tidak dipinggirkan.
"Kita harap sangat pihak berkaitan dapat membantu menaik taraf, mempromosi dan memperkenalkan semula kompleks ini kepada orang luar.
"Sebagai peniaga dan pekerja di sini, sememangnya memang berharap PRK kali ini dapat jadi penyelamat hayat kedai kedai ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!