Aplikasikan konsep thiqah dalam sistem rantaian bekalan


JAKIM akan membuka permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk skim logistik peruncitan sebelum hujung tahun ini. -Foto: Canva
JAKIM akan membuka permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk skim logistik peruncitan sebelum hujung tahun ini. -Foto: Canva
A
A
A

BAGI membendung impak membabit-kan isu penipuan kartel daging berulang, konsep thiqah (kepercayaan) dalam hadis perlu diaplikasikan dalam semua sistem rantaian bekalan termasuk logistik halal untuk menjamin elemen patuh syariah.

Istilah thiqah sering digunakan oleh ulama hadis untuk menggambarkan perawi yang memiliki reputasi baik dan berakhlak tinggi serta mempunyai sifat adil dan kuat ingatan.

Saranan itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Profesional Eksekutif Halal Malaysia (PPEHMA), Dr Lokman Ab Rahman ketika menjadi panel pada Persidangan Logistik Halal Malaysia (MAHIC) 2024 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

DR LOKMAN
DR LOKMAN

Jelas beliau, teori tersebut mengandungi praktis syariah yang besar dan mengelakkan penipuan.

“Dalam hadis, ada rantaian blok yang begitu terperinci sehinggakan rangkaian perawinya mesti memenuhi syarat ditetapkan seperti fasih dan thiqah untuk memastikan kesahihan as-Sunnah berkenaan.

“Sebab itulah kita melihat hadis yang beribu tahun datang daripada Rasulullah SAW kekal sampai ke hari ini kerana rantaian blok sanad yang kuat daripada perawinya, jelas maklumat dan pembawanya serta dipercayai.

Artikel Berkaitan:

“Bayangkan jika kita membawakan konsep thiqah yang sama untuk diaplikasikan dalam skim logistik halal dan sistem rantaian bekalan sedia ada, kita boleh tahu dan kesan jika ada suatu perkara berlaku seperti penipuan,” katanya.

Sekalipun kita mempunyai pelbagai sistem dan teknologi canggih, ujar Dr Lokman, tiada gunanya jika lemah dari segi amanah serta integriti.

KONSEP thiqah dalam hadis dicadangkan untuk diaplikasikan dalam skim logistik halal kerana ia dilihat mengandungi praktis syariah yang begitu besar dan mengelakkan penipuan seperti isu kartel daging. -Foto: Canva
KONSEP thiqah dalam hadis dicadangkan untuk diaplikasikan dalam skim logistik halal kerana ia dilihat mengandungi praktis syariah yang begitu besar dan mengelakkan penipuan seperti isu kartel daging. -Foto: Canva

Dalam sistem rantaian bekalan, jelas beliau, setiap prosesnya termasuk isu berkaitan logistik halal seperti pengangkutan mestilah jelas supaya tidak berlaku kecacatan dan sifar risiko.

“Suka saya ingatkan, individu terlibat perlu melakukan audit terhadap pembekal masing-masing dan tidak terlalu bergantung semata-mata kepada dokumen untuk mengelakkan masalah kelak.

“Ini kerana kita (pemain industri) menyediakan produk mempunyai pengesahan halal untuk kegunaan orang ramai. Jadi kita, kerajaan atau jabatan bertanggungjawab kepada keperluan yang disahkan halal dan tiada keraguan padanya,” terangnya.

Pintu nilai pasaran

Apakah kelebihan apabila sesebuah syarikat mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dalam skim logistik?

Menjawab pertanyaan itu, Ketua Makmal Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC), Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Mohd Amri Abdullah menjelaskan, memiliki SPHM itu umpama menjadi pintu nilai pasaran yang boleh merancakkan lagi ekonomi sesebuah syarikat.

USTAZ MOHD AMRI
USTAZ MOHD AMRI

Bahkan katanya, syarikat tersebut akan menjadi tumpuan pemain industri halal lain untuk menggunakan perkhidmatannya.

“Antara perkara yang kami akan lihat apabila sesebuah syarikat memohon SPHM ialah pengangkutan digunakan mereka sama ada halal atau tidak.

“Jadi mereka yang gunakan kenderaan memiliki SPHM akan menjadi buruan pihak industri. Itu kelebihan jika pengangkutan atau gudang mempunyai sijil halal berbanding mereka yang tidak memilikinya,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan MAHIC 2024.

Berbanding dengan skim SPHM lain, jelas Ustaz Mohd Amri, permohonan sijil halal bagi skim logistik lebih mudah kerana ia hanya melibatkan perkhidmatan yang mana sistem digunakan tidak menimbulkan keraguan.

“Sebagai contoh, penggudangan lebih kepada perkhidmatan bagaimana mengawal produk yang ada sijil halal disimpan di dalam gudang. Ia tidak serumit sebagaimana hendak membuat produk.

“Jika melibatkan penghasilan produk, bukan saja perlukan pembangunan, tetapi juga barang-barang digunakan halal termasuk juga aspek kebersihan dan sebagainya turut diambil kira,” ujarnya.

BAGI mereka yang mahu memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) skim logistik, selain perlu memiliki kaedah kawalan sistem kawalan halal sebagaimana disyaratkan oleh JAKIM, syarikat itu perlu memiliki eksekutif halal atau jawatan kuasa halal dalaman, mempunyai sistem pengurusan yang baik, memastikan kawalan barangan yang diangkut mempunyai sijil halal dan lain-lain, di samping mematuhi undang-undang berkaitan dalam industri. -Foto: Canva
BAGI mereka yang mahu memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) skim logistik, selain perlu memiliki kaedah kawalan sistem kawalan halal sebagaimana disyaratkan oleh JAKIM, syarikat itu perlu memiliki eksekutif halal atau jawatan kuasa halal dalaman, mempunyai sistem pengurusan yang baik, memastikan kawalan barangan yang diangkut mempunyai sijil halal dan lain-lain, di samping mematuhi undang-undang berkaitan dalam industri. -Foto: Canva

Bagi mereka yang mahu memohon SPHM skim logistik, selain perlu memiliki kaedah kawalan sistem kawalan halal sebagaimana disyaratkan oleh JAKIM, syarikat itu perlu memiliki eksekutif halal atau jawatan kuasa halal dalaman.

Selain itu, katanya, syarikat tersebut juga perlu mempunyai sistem pengurusan yang baik, memastikan kawalan barangan yang diangkut mempunyai sijil halal dan lain-lain, di samping mematuhi undang-undang berkaitan dalam industri.

“Sehingga kini, terdapat 48 syarikat yang mendapat pengesahan SPHM untuk skim logistik melibatkan segmen pengangkutan dan pergudangan.

DALAM sistem rantaian bekalan, setiap prosesnya termasuk isu berkaitan logistik halal seperti pengangkutan mestilah jelas supaya tidak berlaku kecacatan dan sifar risiko. -Foto: Canva
DALAM sistem rantaian bekalan, setiap prosesnya termasuk isu berkaitan logistik halal seperti pengangkutan mestilah jelas supaya tidak berlaku kecacatan dan sifar risiko. -Foto: Canva

“Untuk peruncitan, JAKIM belum membuka permohonan itu secara rasmi memandangkan ketidaksediaan pihak industri mematuhi standard prosedur halal Malaysia. Antaranya termasuklah memastikan semua produk yang ada dalam peruncitan itu wajib ada sijil halal.

“Bagaimanapun, setelah perbincangan diadakan dengan pihak berkepentingan, insya-ALLAH kita akan buka permohonan sijil halal bagi segmen peruncitan sebelum hujung tahun ini,“ katanya sambil memberitahu logo halal dibenarkan untuk dipaparkan pada lori, pengangkutan atau kontena yang mendapat pengesahan SPHM sebagai satu bentuk kesedaran kepada orang ramai.

ANEKDOT

Syarat khusus skim logistik

- Terdiri daripada logistik pengangkutan, penggudangan dan peruncitan sahaja termasuk perkhidmatan logistik bersepadu dan fasiliti rantaian sejuk.

- Menyimpan barang berduti dengan memiliki lesen penggudangan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

- Pengangkutan kontena pukal (container bulk), pukal cecair (bulk liquid) dan pengangkutan umum kenderaan komersial didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia serta mendapatkan permit pengangkutan barang.

SYARIKAT yang menyediakan perkhidmatan logistik halal sering kali menjadi tumpuan pemain industri halal lain untuk mendapatkan perkhidmatan mereka. -Foto: Canva
SYARIKAT yang menyediakan perkhidmatan logistik halal sering kali menjadi tumpuan pemain industri halal lain untuk mendapatkan perkhidmatan mereka. -Foto: Canva

- Syarikat ejen pengiriman barang atau ejen kastam dan perkapalan hendaklah mendapatkan lesen daripada JKDM.

- Penyimpanan produk daging dan hasilan daging hendaklah memiliki permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

- Peruncitan terdiri daripada syarikat yang menjalankan pengedaran atau perdagangan produk dan peruncit makanan seperti kedai runcit, kedai serbaneka dan pasar raya.

- Maklumat pengangkutan, penggudangan dan peruncitan hendaklah diisytiharkan secara terperinci dalam borang permohonan MYeHALAL.

- Keperluan MS 2400-1:2019; MS 2400-2: 2019 dan MS 2400-3:2019.

- Keperluan pekerja Muslim dilaksanakan termasuk mempunyai pekerja Muslim, eksekutif halal dan jawatan kuasa halal dalaman.

*Sumber: JAKIM

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!