Teknologi WhatsApp, tingkat tahap pendidikan negara - GPMS

Nik Saiful Adli. Laporan Sinar Harian
Nik Saiful Adli. Laporan Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Perkembangan pesat teknologi komunikasi era baharu seperti WhatsApp wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam proses meningkatkan tahap pendidikan negara.

Timbalan Pengerusi Tetap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Nik Saiful Adli Burhan berkata, perkara itu dapat mencapai komunikasi yang berkesan antara ibu bapa, guru dan murid bagi memastikan semua pihak bergerak seiring dalam mendidik anak-anak bukan sahaja sewaktu di sekolah tetapi setiap masa.

Menurutnya, kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi menjadi faktor utama peningkatan taraf hidup secara drastik di semua peringkat tamadun dari sejarah penciptaan mesin cetak, sistem pos, teknologi telefon sehinggalah kepada kemudahan capaian internet sebagaimana sekarang.

“Begitu juga penggunaan teknologi dalam pendidikan dan pengurusan pendidikan terutamanya di sekolah, hampir semua menggunakan grup WhatsApp sebagai medium menyampaikan maklumat daripada pihak sekolah serta guru kepada ibu bapa termasuk menyampaikan pesanan kepada murid-murid.

“Komunikasi adalah kunci utama persefahaman dan kerjasama dalam apa-apa jua organisasi samada tempat kerja, keluarga, sekolah mahupun institusi pendidikan malah teknologi masa baharu tersebut sudah berjaya menggantikan kaedah surat-menyurat rasmi yang diamalkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai respons sudut pandang berbeza berhubung artikel bertajuk ‘Elok mansuhkan sahaja grup WhatsApp sekolah anak’ yang disiarkan pada ruangan pojok Suara Sinar oleh Merak Jalanan.

Nik Saiful Adli berkata, masalah perbalahan dan keserabutan pelbagai masalah luar yang dibawa masuk ke dalam grup WhatsApp tidak sepatutnya menjadi alasan teknologi itu terus ditolak.

Beliau berkata, kebanyakan sekolah ada dan boleh menetapkan hanya guru serta pentadbir sahaja diberi akses memasukkan maklumat ke dalam aplikasi tersebut manakala ibu bapa pula masih boleh menghubungi guru secara peribadi tanpa menggunakan grup tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Dulu, banyak aktiviti sekolah tergendala kerana kegagalan maklumat disampaikan oleh anak-anak, lebih-lebih lagi melibatkan murid sekolah rendah yang kadang-kala tidak jelas dengan arahan atau gagal menyampaikan maklumat kepada ibu bapa dengan tepat.

“Sekarang, bermula dari maklumat tentang pakaian sekolah, aktiviti, bayaran, kerja rumah sehingga kepada aktiviti pembelajaran tambahan turut dimuat naik oleh guru-guru untuk kelangsungan pendidikan melalui penggunaan teknologi ini,” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Padang Kala itu turut mengambil contoh negara-negara di dunia yang menguasai teknologi maklumat serta komunikasi akan mendahului daripada semua aspek kemajuan kerana penguasaan terhadap teknologi seperti Jepun, India dan juga China berjaya menyaingi negara-negara Eropah lain.

“Sebahagian besar dalam Surah al-Hujurat juga Allah SWT mewahyukan kepada Rasulullah kaedah-kaedah komunikasi dan tatacara perhubungan antara manusia yang menjadi asas kepada proses dakwah serta pembangunan umat manusia pada pelbagai zaman.

“Dulu, hanya mesyuarat PIBG selama dua jam setahun sahaja menjadi penghubung ibu bapa dan guru, mengapa harus kita menolak peluang bersama-sama 24 jam sehari, bukankah itu sepatutnya menjadikan proses pendidikan lebih baik?” soalnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!