Usahawan Malaysia disaran pasar produk halal ke Thailand - Mara

PRODUK yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia JAKIM boleh dieksport ke luar negara untuk pasaran yang lebih meluas. Foto CANVA
PRODUK yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia JAKIM boleh dieksport ke luar negara untuk pasaran yang lebih meluas. Foto CANVA
A
A
A

USAHAWAN Malaysia disaran meneroka peluang dan memperluas perniagaan mereka ke Thailand yang dilihat berpotensi besar dalam segmen produk halal.

Pengarah Bahagian Pembiayaan Perniagaan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Timelow Jauk berkata, ia berikutan produk-produk Malaysia khususnya makanan halal dan produk kecantikan serta kesihatan sering mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Sehubungan itu, usahawan Malaysia dalam segmen produk halal perlu memperluas perniagaan mereka dengan memanfaatkan sambutan dalam kalangan penduduk Thailand ini,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada acara persidangan World HAPEX 2024 di Songkhla, Thailand baru-baru ini.

PELUANG besar buat usahawan Malaysia untuk memasarkan produk halal mereka ke Thailand. Foto CANVA
PELUANG besar buat usahawan Malaysia untuk memasarkan produk halal mereka ke Thailand. Foto CANVA

Jauk berkata, Mara turut bertindak menubuhkan satu bahagian khas bagi memilih usahawan yang sesuai untuk dikembangkan ke pasaran antarabangsa.

Seiring usaha itu, agensi berkenaan telah mengumpulkan usahawan yang memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan dan bersedia dengan produk-produk untuk dieksport ke pasaran luar.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seramai 10 usahawan Malaysia telah menyertai World HAPEX 2024 yang menyaksikan selatan Thailand dijadikan platform bagi mempromosi produk Malaysia ke pasaran dunia.

“Kita berharap usahawan-usahawan ini dapat melakukan jaringan dengan usahawan di Thailand dan saling bekerjasama untuk membawa produk-produk ke Malaysia kelak,“ katanya.

Tambah beliau, acara itu turut memberi peluang kepada Mara memperkenalkan produk Malaysia, khususnya produk halal kepada masyarakat Thailand.

Lebih 20,000 pengunjung dijangka mengunjungi World HAPEX 2024, persidangan dan pameran perdagangan halal terbesar Thailand itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!