PRK Mahkota: Nur Jazlan dakwa calon Bersatu 'kambing hitam' Pas

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Nur Jazlan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Nur Jazlan
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mungkin dijadikan 'kambing hitam' Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa, Pas dilihat sudah hilang semangat dan takut untuk bertanding kerana enggan mengulangi episod kekalahan yang teruk semasa PRK DUN Nenggiri lalu.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Pulai itu, kini Pas tidak mahu meletakkan calon di DUN berkenaan, sebaliknya tiba-tiba bermurah hati memberikan laluan kepada wakil Bersatu untuk bertanding.

"Kenapa? Takut kalah lagi, nak tambah koleksi kekalahan dua kali berturut-turut? Bunyinya macam Pas dah tak sanggup dimalukan lagi.

"Kononnya nak tunjuk kesepakatan dalam Perikatan Nasional (PN). Tapi, semua orang tahu hakikatnya Pas takut sedangkan ada parti lain yang bergasak-gasak nak bertanding di DUN Mahkota biarpun tak ada kekuatan.

"Kalau diberi peluang bertanding, bukan Bersatu tak tahu nasib mereka. Mereka cuma jadi 'kambing hitam' untuk Pas, kalah nanti Pas boleh lepas tangan. Bersatu dapat malu, Pas selamat nama," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan PN bersetuju memilih wakil Bersatu sebagai calon PRK DUN Mahkota pada 28 September ini bagaimanapun belum memutuskan siapa yang bakal bertanding.

Menurut Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, keputusan calon dijangka dibuat dalam satu mesyuarat sebelum Muktamar Pas pada 14 September ini yang diumumkan oleh Pengarah Pilihan Raya Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 2 Ogos lalu pada usia 64 tahun.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berpandangan, Pas mungkin boleh lari dari DUN Mahkota tetapi bayangan kekalahan memalukan di Nenggiri akan terus menghantui parti terbabit.

Bagaimanapun tambahnya, selepas kekalahan buruk itu, Pas seolah-olah tidak serik menggunakan taktik sama terhadap UMNO ketika masing-masing menjadi pembangkang dalam kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.

"Untuk elak dilabel sebagai 'penakut' di DUN Mahkota, Pas pusing lagi buat cerita 'sembang kari' nak bertanding di Sabah pula, kawasan di mana mereka lagi tak laku.

"Pas memang tahu permainan politik, mereka bijak memanipulasi orang lain demi menjaga kepentingan sendiri. Kambing hitam? Itu memang kelebihan mereka.

"Bersatu pula macam dah biasa sangat jadi alat. Tak sedar ke yang Pas asyik mainkan mereka atau mungkin Bersatu pun tak kisah asalkan ada peranan walaupun sekadar kambing hitam," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!