Wanita kesunyian mudah terjerat 'love scam'

Ramli (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.
Ramli (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan wanita mencatatkan bilangan mangsa penipuan 'love scam' tertinggi iaitu seramai 368 individu menerusi statistik yang direkodkan sejak Januari sehingga Ogos tahun ini.

Rekod yang sama turut dicatatkan antara Januari sehingga Disember tahun lalu iaitu seramai 744 wanita yang menjadi mangsa.

Angka melibatkan golongan lelaki antara Januari hingga Ogos tahun ini mencatatkan seramai 128 individu manakala Januari sehingga Disember 2024 merekodkan seramai 191 mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tahun ini, sehingga Ogos jumlah kerugian yang direkodkan melibatkan 'love scam' telah mencecah RM23,364,925.89 manakala RM43,920,299.01 bagi tahun lalu.

Beliau berkata, 79.3 peratus daripada keseluruhan 2,223 mangsa love scam yang dicatatkan sejak tahun 2022 adalah wanita.

"Antara faktor wanita cenderung menjadi mangsa adalah kerana mereka seringkali dilihat sebagai lebih terbuka dalam aspek emosi dan hubungan peribadi.

"Sindiket kemudiannya bertindak mengambil kesempatan dalam merangka strategi bagi menimbulkan rasa empati golongan wanita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, masa sama wanita yang mencari hubungan percintaan lebih mudah terpengaruh dengan kata-kata dan tindakan yang penuh kasih sayang.

"Perkara ini berlaku melibatkan golongan wanita kesunyian terutamanya mereka yang tidak mempunyai suami atau kematian suami.

"Harapan untuk menemukan cinta sejati sering kali mendorong wanita untuk percaya pada cerita yang menarik walaupun adakalanya mungkin kelihatan tidak masuk akal," katanya.

Menurutnya, analisa yang dijalankan mendapati tiada kategori tertentu yang disasarkan secara spesifik oleh sindiket penipuan love scam.

"Umpamanya, pada tahun 2022, jumlah mangsa tertinggi direkodkan dalam kategori umur 21 hingga 30 tahun dengan sejumlah 211 individu.

"Statistik bagi tahun 2023 pula menunjukkan jumlah mangsa paling ramai direkodkan terdiri daripada individu berumur antara 41 hingga 50 tahun iaitu seramai 215 individu.

"Bagaimanapun, keadaan kembali berubah apabila setakat Ogos 2024, individu berumur 21 hingga 30 tahun kembali menjadi mangsa paling ramai dengan 178 individu," katanya.

Ramli berkata, sebagai langkah mencegah menjadi mangsa love scam ini, individu yang sedang menjalin percintaan terutamanya secara maya disarankan mengambil langkah lebih berhati-hati.

"Sentiasa berwaspada dengan tanda-tanda penipuan seperti permintaan kewangan yang tiba-tiba, cerita yang tidak konsisten, atau profil yang terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.

"Masa sama, harus bersikap skeptikal dengan selalu mempersoalkan niat seseorang terutamanya jika hubungan baharu dan melibatkan permintaan bantuan kewangan atau maklumat peribadi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!