Semua ahli Parlimen perlu isytihar aset - C4

Semua ahli Parlimen perlu mengisytiharkan aset bagi memastikan tadbir urus yang telus dapat dilaksanakan, dan syarat tersebut tidak hanya terpakai kepada pembangkang sahaja. Gambar hiasan 123RF
Semua ahli Parlimen perlu mengisytiharkan aset bagi memastikan tadbir urus yang telus dapat dilaksanakan, dan syarat tersebut tidak hanya terpakai kepada pembangkang sahaja. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen perlu mengisytiharkan aset bagi memastikan tadbir urus yang telus dapat dilaksanakan, dan syarat tersebut tidak hanya terpakai kepada pembangkang sahaja.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dalam satu kenyataan berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan ahli politik tidak menggunakan jawatan mereka untuk kepentingan peribadi atau mengumpulkan kekayaan demi kepentingan parti masing-masing.

Menurutnya, undang-undang pengisytiharan aset perlu diperkenalkan segera selain menyediakan rangka kerja yang jelas bagi memastikan ketelusan tata kelola dilaksanakan dengan telus tanpa sebarang ketirisan.

“Kami menuntut bahawa keperluan pengisytiharan aset hendaklah terpakai kepada semua ahli Parlimen dan sepatutnya tidak digunakan sebagai alat untuk gerakan politik.

“Pengisytiharan aset perlu dilakukan tanpa mengira parti gabungan, untuk memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap proses Parlimen kita secara keseluruhan,” katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan menetapkan tujuh syarat kepada pembangkang, termasuk sokongan kepada kerajaan sehingga akhir penggal Parlimen ke-15 bagi membolehkan mereka menerima peruntukan, selain turut mendakwa tiada amaun peruntukan yang diletakkan dalam draf memorandum persefahaman (MoU) berkenaan.

Susulan itu, Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan sesi taklimat dan perbincangan bersama semua Ahli Parlimen pembangkang dengan agenda utama membincangkan syarat MoU peruntukan yang dikemukakan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, menurut C4, keperluan pengisytiharan aset dengan membuat pelbagai tawaran akan menjejaskan tadbir urus kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, jika kerajaan mahukan pentadbiran yang bersih dan telus, mereka juga perlu mengisytiharkan aset sedia ada kepada umum supaya ia adil kepada ahli Parlimen pembangkang.

“Sekiranya kerajaan menuntut pembangkang mengisytiharkan harta, mereka juga perlu membuat syarat yang sama kepada semua ahli Parlimen kerajaan.

“Mengapa mempunyai tuntutan yang tidak jelas untuk pengisytiharan aset terhadap pembangkang jika kerajaan belum mengenakan kewajipan yang sama ke atas diri mereka sendiri?” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!