Ejen unit amanah didakwa tipu, palsu dokumen pelaburan RM100 juta

Ejen unit amanah berpangkat Datuk didakwa atas lima pertuduhan menipu LPSVN berhubung pelaburan RM100 juta dan memalsukan dokumen.
Ejen unit amanah berpangkat Datuk didakwa atas lima pertuduhan menipu LPSVN berhubung pelaburan RM100 juta dan memalsukan dokumen.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ejen unit amanah bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas lima pertuduhan menipu Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) berhubung pelaburan RM100 juta dan memalsukan dokumen lembaga sama, tujuh tahun lalu.

Ahmad Azwan Aboo Mansoor, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Hamidah Mohamed Deril.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menipu LPSVN dengan memperdaya agensi itu untuk memasuki Perjanjian Pelaburan CIMB Islamic Dali Equity Theme Fund, secara yang representasi salah.

Ia mendorong lembaga itu menyerahkan cek bernilai RM100 juta yang mana LPSVN tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu dilakukan di LPSVN, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, di sini pada 10 Jun 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Ahmad Azwan didakwa dengan curangnya menggunakan sebagai tulen dokumen pembayaran dividen dan CIMB Islamic Dali Equity Theme Fund, yang diketahui sebagai palsu.

Sementara pertuduhan keempat dan kelima, dia didakwa menggunakan sebagai tulen dua dokumen pengesahan pembayaran zakat untuk Pelaburan CIMB Islamic Dali Equity Theme Fund bagi tahun 2016 dan 2017 yang diketahui sebagai palsu.

Artikel Berkaitan:

Semua kesalahan didakwa dilakukan di lokasi sama pada 9 Jun, 28 Julai dan 8 Disember 2017 serta 22 Mei 2018.

Kes dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norfauzani Mohd Nordin mencadangkan lelaki itu diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam, Harjinder Singh Sandhu mewakili tertuduh, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana tertuduh telah diisytiharkan muflis dan hilang punca pendapatan.

“Harta anak guam iaitu rumah berkembar sedang dalam proses dilelong,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hamidah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 21 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!