Perak pertimbang syarat mandulkan anjing sebelum keluarkan lesen

Sandrea (tiga dari kiri) menunjukkan poster promosi Program Perak Pawsitive Initiative selepas sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.
Sandrea (tiga dari kiri) menunjukkan poster promosi Program Perak Pawsitive Initiative selepas sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak sedia mempertimbangkan syarat memandulkan anjing peliharaan sebelum lesen dikeluarkan bagi membela haiwan tersebut dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, perkara tersebut antara usaha yang sedang difikirkan kerajaan negeri dalam usaha menyelesaikan isu anjing jalanan.

Menurutnya, kerajaan Negeri Sembilan antara yang telah melaksanakan peraturan tersebut dan Perak sedang melihat keperluan sama ia sesuai dilakukan di negeri ini atau sebaliknya.

"Kita sedia maklum tahun lepas di Negeri Sembilan telah dikuatkuasakan supaya peraturan wajibkan pemandulan sebelum mohon lesen. Sebelum ini sempat juga saya berbincang dengan PBT di Negeri Sembilan dan mereka dapati ada pihak yang tak nak ikut peraturan ini sehingga timbul satu isu sampingan bahawa jumlah pemohon lesen telah dah menurun.

"Kita juga ambil kira juga ini, cuma dalam jangka masa panjang memang itu menjadi sasaran dan perancangan kami. Cuma kita nak ambil pengalaman daripada Negeri Sembilan, tengok lagi apa kita boleh perkemaskan, perketatkan supaya apabila peraturan itu dilaksanakan memang boleh capai," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar mengenai Program Perak Pawsitive Initiative di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Sandrea berkata, sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 2,726 aduan diterima berkaitan anjing jalanan di 15 PBT di negeri ini dan ia merupakan antara aduan paling banyak diterima oleh pihak PBT daripada orang awam.

Katanya, susulan itu, sebanyak 1,190 operasi telah diaturkan bagi menangani aduan dibangkitkan dan hasilnya sejumlah 4,856 ekor anjing jalanan yang berjaya ditangkap tahun ini sehingga Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

"Biarpun begitu ia masih belum dapat ditangani. Selepas beberapa sesi perbincangan, perjumpaan dan mendapat pengalaman dari negeri lain dan sebagainya, kita cuba untuk kenal pasti punca utama sebab kita harap dapat menangani dari akar umbi.

"Di Perak tidak menjadi kebiasaan untuk pemilik haiwan melakukan pemandulan menyebabkan anak-anak anjing ini terbiar dan dibuang," katanya.

Sandrea berkata, sebagai langkah awal, pihaknya sedang menggerakkan Program Perak Pawsitive Initiative iaitu kempen pemandulan anjing bersubsidi dalam usaha menangani isu populasi haiwan jalanan dengan lebih berkesan di negeri ini.

Katanya, program perintis itu akan dilaksanakan di Majlis Daerah Kampar (MDKpr) sebelum diperluaskan kepada PBT lain jika ia menunjukkan keberkesanan dalam mengawal populasi haiwan tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan pemilik anjing di dalam kawasan MDKpr untuk mendaftarkan diri bagi program tersebut dan mereka hanya perlu membayar RM90 bagi setiap seekor anjing.

Program tersebut akan berlangsung pada 27 hingga 29 September 2024 bermula jam 9 pagi hingga 5 petang bertempat di Dewan Bandaran Gopeng.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!