Sindiket guna taktik tawar diskaun bil TNB tipu mangsa

Ramli menerangkan taktik baharu digunakan sindiket untuk menipu mangsa dalam sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.
Ramli menerangkan taktik baharu digunakan sindiket untuk menipu mangsa dalam sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menawarkan diskaun menerusi pakej pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) antara taktik penipuan baharu dikesan digunakan sindiket dalam memerangkap mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan rekod, sejak Mac 2024 hingga Ogos, sebanyak tujuh kes berkaitan ini sedang disiasat melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM279,289.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket membuat tawaran diskaun bil TNB melalui Facebook.

"Mangsa ditawarkan kononnya boleh menikmati kadar diskaun antara 20 hingga 30 peratus sebelum mangsa diminta menghubungi nombor yang dipaparkan dan kemudiannya menghantar gambar bil TNB mereka.

"Setelah itu, sindiket menghantar gambar resit pembayaran kononnya bayaran telah dijelaskan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Katanya, mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat pindahan wang (setelah ditolak diskaun) ke akaun bank individu yang diberikan.

"Bagaimanapun, setelah pindahan wang dibuat, mangsa mendapati bil TNB mereka masih tertunggak.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan taktik penipuan sebegini," katanya.

Menurutnya, orang ramai juga perlu mendapatkan nasihat serta pengesahan daripada agensi yang berkaitan tentang kesahihan mana-mana tawaran yang dilihat di media sosial.

Pada 4 September lalu, media melaporkan seorang akauntan mengalami kerugian berjumlah RM164,903 gara-gara menjadi mangsa penipuan diskaun pembayaran bil TNB.

Mangsa sebelum itu menerima maklumat berkaitan tawaran diskaun berkenaan menerusi panggilan telefon.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!