Titah Tengku Hassanal disambut baik rakyat jelata - Raja Kamarul
KUALA TERENGGANU - Titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah mengenai siasatan berhubung serangan ke atas seorang lelaki yang didakwa membabitkan kerabat diraja Pahang disambut baik rakyat jelata.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, tindakan yang diambil itu amat dialu-alukan dan merupakan satu langkah segar dalam membela golongan tertindas.
"Kenyataan Tengku Hassanal ini bukanlah satu tindakan terpencil dalam menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat kerana baginda telah membuat banyak kenyataan sebelum ini mengenai isu-isu melibatkan pembelaan nasib rakyat jelata.
"Baginda juga secara jelas menunjukkan contoh kepada ahli keluarga diraja mengenai bagaimana sepatutnya mereka berkelakuan, seperti yang dinyatakan dengan tegas dalam kenyataan, tiada siapa yang mengatasi undang-undang, walaupun ahli keluarga diraja.
"Titah baginda supaya perlu kepada siasatan yang adil dan tindakan tegas tanpa kompromi menunjukkan apa yang sepatutnya dilakukan tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Raja Bahrin berkata, latar belakang pendidikan serta didikan moral yang teguh telah memberikan Tengku Hassanal kebijaksanaan dan keberanian untuk menyuarakan isu-isu berkaitan kepentingan umum dan rakyat jelata.
"Almarhum datuk baginda, Sultan Ahmad Shah yang terkenal dengan kemurahan hati serta selalu menjadi yang pertama melawat lokasi banjir dan bencana alam, sangat rapat dengan rakyat jelata kerana keprihatinannya terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
"Tradisi ini membuatkan baginda begitu dekat dan mesra dengan rakyat.
"Begitu juga Sultan Pahang, Tengku Abdullah dan Tunku Ampuan Azizah kini juga menawan hati rakyat melalui jelajah expedisi panjang di Sabah dan Sarawak dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda.
"Apa yang dilakukan itu tidak pernah terjadi sebelum ini amat dihargai oleh rakyat jelata terutama yang agak terpencil di Borneo," ujarnya.
Khamis lalu, Tengku Hassanal menitahkan supaya insiden yang mengaitkan seorang kerabat diraja negeri itu yang didakwa terlibat serangan ke atas individu dikenali sebagai Alias Awang segera disiasat.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, baginda menyeru supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.
Sebelum itu, sebuah portal berita melaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan mendakwa cedera selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata tajam dan pistol.
Akibat serangan tersebut, lelaki itu dilaporkan cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.
Susulan itu, polis mengesahkan sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan semula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya berhubung insiden berkenaan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, beberapa individu sudah ditahan berhubung kes terbabit dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selain beberapa saksi lain telah dipanggil untuk memberi keterangan, bagi membantu siasatan.
Menurut Yahaya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan merusuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!