Pemandu bas sekolah tular rakam murid direman lima hari

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KLUANG - Pemandu bas yang memuat naik rakaman video murid perempuan sekolah rendah dengan meletakkan kapsyen ‘crush’ dan ‘kesayangan’ direman selama lima hari.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kebenaran reman ke atas suspek berusia 24 tahun itu diperoleh pada Jumaat.

"Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Batu Pahat, Suhaila Safi’uddin.

"Suspek yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK) dibenarkan reman sehingga 10 September depan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada Jumaat, lelaki terbabit ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada jam 2.57 pagi bagi menjalankan siasatan berhubung penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak dalam sebuah bas.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan dan polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video itu supaya tampil bagi membantu siasatan.

Sebelum itu, tular beberapa video yang memaparkan seorang pemandu bas yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di TikTok, merakam beberapa murid sekolah perempuan yang dianggap pemandu bas tersebut sebagai ‘crush’ atau seseorang yang diminati atau disukai secara romantik.

Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid-murid tersebut dengan jelas.

Artikel Berkaitan:

Video-video itu setakat ini sudah mempunyai sebanyak 10.5 juta tanda suka atau ‘like’.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!