Tragedi Sungai Penchala: Anak mengaku bunuh ibu bapa

Afendi (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu bagi menghadapi dua pertuduhan membunuh ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala.
Afendi (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu bagi menghadapi dua pertuduhan membunuh ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Biarpun mengetahui berdepan hukuman gantung atau penjara sehingga 40 tahun, seorang penganggur mengaku telah membunuh ibu bapanya dalam satu pertengkaran di Kampung Sungai Penchala, hujung tahun lalu.

Ketika sebutan kes selepas ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, Hakim, K Muniandy mengarahkan dua pertuduhan terhadap tertuduh, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 43, dibacakan semula.

“Saya mengaku bersalah,” kata Afendi yang memakai baju lokap berwarna oren di kendang tertuduh.

Hakim kemudiannya meminta peguam, Mohd Ruzaini Zulkifli yang mewakili tertuduh, mendapatkan kepastian sekali lagi, sama ada anak guamnya berhasrat mengekalkan pengakuan bersalah atau sebaliknya.

Selepas mengulangi pengakuan sama, Mohd Ruzaini berkata, beliau baru sahaja dilantik oleh pihak mahkamah untuk mewakili tertuduh, minggu ini.

“Saya tak pernah jumpa anak guam, ini kali pertama kami bertemu, jadi buat masa ini, saya menasihatinya supaya tidak mengaku bersalah memandangkan dia berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

“Saya akan bincang mengenai pengakuan bersalah ini bersama anak guam, selain perlu meneliti dokumen berkaitan kes,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ishak memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah merekodkan bahawa tertuduh memahami sebab dan akibat pengakuan salah mengikut Seksyen 302 kanun itu.

Mahkamah menetapkan 10 Oktober depan untuk pengurusan kes.

Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82 dan suri rumah, Darlisma Njatu Saleh, 72.

Kesalahan didakwa dilakukan di rumah mangsa, di Kampung Sungai Penchala Jalan Penchala Hilir, di sini pada jam 7.10 dan 7.20 malam, 9 Disember lalu.

Dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pada Sabtu lalu, polis mengesahkan telah menerima maklumat jam 7.43 malam daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan keluarga.

Malangnya, pasangan suami isteri warga emas berusia 72 dan 82 tahun itu ditemui mati di ruang tamu kediaman mereka, dipercayai dibunuh anak lelakinya di Kampung Sungai Penchala, di sini dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh.

Polis kemudiannya mengesahkan suspek berjaya ditahan dan hasil siasatan mendapati dia mempunyai sembilan rekod jenayah.

Ujian saringan air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.

Pada 4 Julai tahun lalu, kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!